Kalah bermaruah adalah istilah tepat untuk menggambarkan aksi yang ditampilkan gandingan beregu lelaki negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2018 hari ini selepas hanya sebulan kembali digandingkan bersama.

Sandaran untuk menyaksikan pemain tempatan merangkul kejuaraan di laman sendiri terletak di bahu V Shem dan Wee Kiong setelah seorang demi seorang wakil negara tersungkur dalam kejohanan ini.

Meskipun tampil dengan persembahan bertenaga, terutama ketika perlawanan separuh akhir, V Shem dan Wee Kiong gagal mengulangi aksi cemerlang itu hari ini apabila berdepan beregu dari Indonesia, Muhammad Rian Ardianto-Fajar Alfian.

V Shem dan Wee Kiong tewas 21-14, 22-24, 13-21.

"Bukan hanya kesilapan daripada kami, gandingan Indonesia mempamerkan persembahan yang cemerlang dan kami gagal untuk menyaingi mereka," kata V Shem.

Di sebalik kekalahan di pentas akhir ini, ia masih boleh dianggap pencapaian yang membanggakan muncul sebagai naib juara Masters Malaysia.

Kali terakhir mereka meraih kejayaan di pentas antarabangsa adalah dalam final Siri Super Dubai 2016 sebelum dipisahkan seketika ekoran krisis prestasi.

"Secara keseluruhan, kami telah bermain dengan baik. Dalam set kedua, banyak mata diberikan kepada lawan, sekali gus meningkatkan motivasi mereka untuk memenangi perlawanan ini," kata Wee Kiong.

Keputusan penuh:

Perseorangan lelaki: Viktor Axelsen (DEN) kalahkan Kenta Nishimoto (JPN) 21-13, 21-23, 21-18.

Perseorangan wanita: Ratchanok Intanon (THA) kalahkan Tai Tzu Ying (TPE) 21-16, 14-21 24-22.

Beregu lelaki: Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (INA) kalahkan Goh V Shem-Tan
Wee Kiong (MAS) 14-21, 24-22, 21-13.

Beregu wanita: Kamilla Rytter Juhl-Christinna Pedersen (DEN) kalahkan Chen Qingchen-
Jia Yifan (CHN) 22-20, 21-18.

Beregu campuran: Tang Chun Man-Tse Ying Suet (HKG) kalahkan Zheng Siwei-Huang
Yaqiong (CHN) 19-21, 22-20, 21-18.​