Pasangan beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, mempamerkan aksi mantap untuk mengesahkan tempat dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil, esok.

Dalam aksi peringkat separuh akhir sebentar tadi, gandingan yang meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mara setelah menumpaskan pasangan Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin, 21-16, 21-17 untuk bertemu gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam final.

Wee Kiong yang ditemui selepas perlawanan berkata, “Saya tidak mahu fikir banyak, lagipun esok merupakan aksi final, jadi saya mahu fokus untuk memberikan yang terbaik sahaja.

“Lawan esok juga agak hebat berdasarkan permainan yang dipamerkan mereka. Lagipun, tahap beregu lelaki sekarang adalah tidak jauh berbeza biarpun mereka merupakan beregu lelaki ketiga Indonesia ketika ini."

V Shem pula berkata, “Kami bermain dengan bagus hari ini, rentak juga menjadi dan sudah pastilah saya mengharapkan permainan serupa akan dipamerkan dalam perlawanan akhir esok.

“Saya berasakan permulaan tahun ini, kami mendapat rentak semula. Keputusan juga agak bagus, jadi saya harap kami akan terus mempamerkan permainan yang mantap sama seperti tahun 2016 lalu."

Bagaimanapun, impian untuk melihat satu lagi pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat- Shevon Jemie Lai, beraksi di pentas final tidak menjadi realiti apabila mereka tumpas 21-14, 12-21, 13-21 kepada pilihan kedua kejohanan dari Hong Kong, Tang Chun Mang- Tse Ying Suet.

Mengulas kekalahan mereka, Shevon berkata, “Kami bermain dengan bagus dan mengikut perancangan dalam set pertama. Apapun, dalam set kedua dan ketiga, pihak lawan bermain dengan baik. Mereka menukar taktikal yang telah memberikan kami kesukaran sehingga kami gagal bermain mengikut apa yang telah dirancang.

“Sukar apabila berdepan pemain yang juga bermain menggunakan tangan kiri (kidal) kerana bulu tangkis yang datang juga berbeza daripada pemain yang bermain dengan tangan kanan. Dari segi sudut bulu tangkis datang dan sebagainya, ia lebih mencabar bagi saya."

Seorang lagi pemain profesional perseorangan lelaki negara, Liew Daren, juga gagal layak apabila tumpas 15-21, 11-21 kepada pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen.