Pasangan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, berhempas-pulas menewaskan pilihan keenam dari Denmark, Mathias Christiansen-Christinna Pedersen, untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Masters Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Peng Soon-Liu Ying, yang baru sahaja menjuarai Masters Thailand minggu lalu, mempamerkan aksi bertenaga untuk memenangi set pertama 21-18.

Namun, mereka gagal mengekalkan aksi kemas dalam set berikutnya apabila tumpas kepada gandingan Denmark itu 13-21.

Perlawanan set ketiga berlangsung dengan penuh mendebarkan sebelum Peng Soon-Liu Ying menoktahkan kejayaan dengan keputusan 21-18.

"Perlawanan sangat sengit, mereka pemain di tahap tinggi tetapi saya dan Liu Ying masih boleh fokus untuk mengatasi mereka," kata Peng Soon.

Sementara itu, impian untuk menyaksikan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, mara lebih jauh tidak kesampaian.

Zii Jia bermula baik apabila menang set pertama 21-19 tetapi jurang pengalaman menyaksikan dia sukar untuk membendung asakan Jonatan Christie, sekali gus tumpas dua set berikutnya dengan keputusan 14-21, 15-21.

"Saya belajar daripada Datuk (Lee Chong Wei) semalam. Kalah menang tidak penting, karakter yang penting.

"Dia bermain untuk negara dan walaupun dia kalah, orang pun tidak menyalahkannya. Inilah yang saya belajar. Hari ini saya bermain seperti itu sahaja," kata Zii Jia.

Tamparan hebat buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas kesemua wakil perseorangan lelaki yang bernaung di bawah badan induk itu tumpas tatkala barisan pemain itulah yang bakal dijadikan sandaran untuk Kejohanan Badminton Berpasukan Asia di Alor Setar bulan depan yang juga kelayakan Piala Thomas.