Malaysia tetap boleh berbangga dengan skuad perseorangan wanitanya meskipun kempen mereka dalam Kejohanan Badminton Masters Malaysia berakhir di tangan dua bekas juara dunia, terutama Goh Jin Wei yang membuatkan Ratchanok Intanon berpeluh untuk menewaskannya.

Dalam aksi di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini, Jin Wei langsung tidak tergugat berdepan lawan yang merupakan antara idolanya dalam sirkit antarabangsa.

Sejak servis pertama lagi, Jin Wei tidak berhenti mengasak Ratchanok untuk merampas set pertama 23-21.

Tetapi, kesilapan strategi memakan diri apabila tewas dua set berikutnya 6-21, 10-21.

"Saya agak teruja berdepan dengannya.

"Permainan saya juga terikut-ikut dengannya. Saya bernasib baik memenangi set pertama tetapi dalam dua set berikutnya, kepantasan dan kekuatan kami seimbang.

"Mungkin dalam aksi rali, saya terburu-buru mengasaknya secara agresif sehingga membuat kesilapan," katanya.

Seorang lagi wakil negara, Lee Ying Ying, terpaksa akur dengan kehebatan jaguh Sepanyol, Carolina Marin, secara straight set 21-17, 21-16.

Begitupun, tegas ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, prestasi kedua-dua pemain itu wajar diberikan pujian dengan berkata: "Secara keseluruhan, mereka bermain bagus biarpun masih ada jurang besar dalam perlawanan mereka.

"Saya puji semangat dan sikap tidak berputus asa mereka. Taktikal lawan lebih bagus lalu membuatkan pemain negara bergelut."

Sementara itu, perseorangan profesional lelaki, Liew Daren, meneruskan pengembaraan dalam Masters Malaysia apabila meraih tiket separuh akhir.

Berdepan perseorangan Thailand, Suppanyu Avihingsanon, Daren tidak menampakkan sebarang masalah untuk mempamerkan aksi terbaik.

Sebaliknya, dia akur kecergasannya teruji, apatah lagi beraksi tanpa henti sejak Masters Thailand, minggu lalu. Wakil tunggal Malaysia dalam kategori itu juga bebas daripada sebarang tekanan untuk menang 21-18, 21-17.

"Saya berasa letih hari ini, sejak awal permainan lagi badan saya terasa berat tetapi saya terus berjuang.

"Suppanyu berdepan aksi sukar semalam, maka saya meneruskan perjuangan dibantu kekuatan mental," kata Daren.

Daren, bagaimanapun, sedar keajaiban diperlukan untuknya ke final ketika juara dunia, Victor Axelsen, menantinya dalam separuh akhir esok.

"Saya sempat pulih kerana sekalipun berada di tahap terbaik, adalah sukar untuk menewaskannya.

"Saya perlu mengawal gelanggang dengan baik esok memandangkan keadaan angin agak kuat di sini," ujarnya lagi.


Keputusan lain:

Beregu campuran
Chan Peng Soon-Goh Liu Ying kk Tan Chun Man-Tse Ying Suet 21-13, 21-16

Goh Soon Huat-Shevon Lai mn Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-14, 21-15

Beregu lelaki
Goh V Shem- Tan Wee Kiong mn Liu Cheng-Zhang Nan 12-21, 21-18, 21-18