Masters Malaysia: Choong Hann puas hati persembahan pemain negara

By Staff Writer 20 January 2019 506
Masters Malaysia: Choong Hann puas hati persembahan pemain negara
Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berpuas hati dengan persembahan skuad negara dalam saingan Masters Malaysia 2019 walaupun tiada wakil negara yang berjaya muncul juara dalam edisi kali ini.

Wakil tunggal negara dalam aksi final, beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, tewas straight set 15-21, 16-21 kepada pasangan nombor satu dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari |Indonesia, di Arena Axiata, hari ini.

Choong Hann, bagaimanapun, optimis dengan persembahan yang ditampilkan, terutama pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, yang berjaya mengatasi dua pemain dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia dalam saingan kali ini sebelum kecundang kepada Ratchanok Intanon dalam separuh akhir.

"Secara keseluruhan, pemain-pemain telah menampilkan potensi untuk cemerlang dalam kejohanan antarabangsa dan ia adalah satu keputusan yang memberangsangkan buat skuad negara," kata Choong Hann.

"Saya percaya banyak lagi perkara yang harus diusahakan bagi memantapkan lagi persembahan pemain secara fizikal dan mental.

"Saya percaya dengan usaha dan bekerja keras dalam sesi latihan secara berterusan akan diikuti dengan kejayaan pada masa akan datang."

Bekas pemain negara itu turut berpandangan pemain Malaysia, khususnya di bawah program BAM, bakal menjalani latihan yang berintensiti tinggi sebagai persiapan menghadapi saingan kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Kami akan mengambil tempoh selama beberapa bulan untuk mempertingkatkan kekuatan fizikal sementara latihan berintensiti tinggi di gelanggang. Setiap pemain akan berusaha mencapai sasaran yang telah ditetapkan," katanya lagi.

About Author

Staff Writer

Comment