Pengurus Besar, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lawrence Chew, mengharapkan semua pihak agar memberi ruang dan masa secukupnya buat kelima-lima pemain yang berada dalam skuad projek khas untuk membuktikan kemampuan mereka.

Selain Datuk Lee Chong Wei yang memulakan tahun 2017 dengan merangkul kejayaan dalam Kejohanan Seluruh England, lima pemain lain dalam projek khas masih belum menunjukkan prestasi meyakinkan.

Ditambah dengan Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang mengalami kecederaan serius di bahagian belakang, dua wakil negara yang beraksi dalam Terbuka Vietnam tempoh hari, Lim Chin Wing dan Chong Yee Han, tersingkir awal sehingga menimbulkan persoalan tentang keberkesanan program ini.

Namun, bagi Lawrence, ia masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap kelima-lima pemain yang berada dalam kelompok itu.

"Masih terlalu awal, program ini baru sahaja dijalankan kira-kira sebulan yang lalu.

"Berilah sedikit masa lagi untuk kita melihat hasilnya.

"Sasarannya telah ditetapkan dalam Kejohanan Dunia," ujarnya.

Selain penumpuan terhadap misi Chong Wei untuk merangkul gelaran juara Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos nanti, BAM juga akan memastikan kesemua pemain dalam Projek Khas mencapai tahap yang memberangsangkan menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dari 19-31 Ogos nanti.

Bagi memastikan aspirasi untuk menjadi juara keseluruhan dapat dicapai, BAM amat komited untuk menurunkan barisan terbaik dalam usaha menyumbang pingat emas daripada acara badminton.

"Untuk sesetengah pemain, mereka perlu membuktikan kemampuan mereka di peringkat antarabangsa.

"Mereka perlu menampilkan aksi terbaik di tempat sendiri kerana akan mendapat sokongan padu daripada penyokong," katanya lagi.