Pemburuan sukan badminton Malaysia terhadap kejuaraan bertaraf Super 1000 musim ini berakhir selepas tiga wakil negara tersingkir dalam suku akhir Kejohanan Terbuka China semalam.

Ia meneruskan kemarau kejuaraan bertaraf Siri Super Premier buat pasukan badminton kebangsaan.

Terbuka China merupakan saingan bertaraf Super 1000 di bawah kalendar jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di samping Kejohanan Seluruh England dan Terbuka Indonesia.

Keputusan itu bermakna pencapaian terbaik Malaysia dalam penampilan bertaraf terbuka perdana adalah menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang layak ke final Kejohanan Seluruh England, Mac lalu.

Prestasi turun naik skuad beregu lelaki menyaksikan gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sebagai wakil terbaik kem kebangsaan dalam kejohanan di Jiangsu itu.

Berdepan gandingan terbaik tuan rumah, Li Jun Hui-Liu Yu Chen, beregu negara itu hampir mencetus sensasi sebaik memenagi set pertama 21-16.

Bagaimanapun, mereka terpaksa berduka apabila tumbang dalam dua set berikutnya 20-22, 20-22.

Sementara itu, beregu lelaki profesional negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, tidak berupaya untuk menandingi gandingan nombor 1 dunia dari Indonesia, Marcus Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo.

Biarpun masih segar dengan kejayaan mengungguli Terbuka Taiwan awal bulan ini, pasangan itu tewas 15-21, 17-21.

Dalam pertemuan yang dianggap previu perebutan pingat emas acara beregu campuran Sukan SEA Filipina, November depan, wakil negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, terpaksa berputih mata kepada gandingan utama Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Taerattanachai Sapsiree, yang menang mudah 21-17, 21-16.

Kekecewaan dalam Kejohanan Badminton Dunia bulan lalu, ditambah dengan prestasi di pentas bertaraf Super 1000, membuatkan badminton Malaysia berdepan realiti pahit dalam usaha untuk kembali bersaing secara kompetitif dengan pasukan elit dunia.