Meskipun membabitkan ego, Malaysia tetap perlu memandang kepada China untuk mempelajari bagaimana mengeksploitasi bakat muda di peringkat tertinggi sukan badminton.

Sebilangan besar kontinjen China yang beraksi dalam saingan Siri Super selepas Sukan Olimpik Rio, terdiri daripada bekas pemain Kejohanan Remaja Dunia 2014 dan 2015.

Pada usia muda, mereka berupaya menampilkan kematangan mengatasi segala cabaran, termasuk kekangan mental untuk menidakkan pemain lebih senior.

Sebaliknya, isu tekanan dan atlet Malaysia sukar dipisahkan -- mungkin ia halangan terakhir yang dihadapi pelapis negara seperti pemain perseorangan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, serta beregu lelaki, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, untuk merealisasikan potensi negara.

“Jika kami tidak belajar daripada kekalahan, kami berada di landasan yang salah. Diharapkan ia tidak menjejaskan prestasi dan keyakinan dan terus belajar daripada pengalaman yang diperoleh.

"Jika setiap kekalahan yang dialami mengurangkan tahap keyakinan dan tidak segera bangkit, lebih baik lupakan seterusnya,” kata Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost.

Jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei, juga berkongsi keterbukaan bagaimana dia menangani tekanan dengan harapan berupaya menjadi inspirasi kepada pemain lain, terutama Iskandar.

“Kita harus lihat kepada sasaran Iskandar. Beraksi dalam Siri Super, ketahanan mental amat penting dan sukar untuk beraksi di pentas ini berbanding di Grand Prix Emas,” kata Chong Wei.

Empat penampilan Iskandar dalam saingan Siri Super di Terbuka Jepun, Terbuka Korea Selatan, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis berakhir dengan kekecewaan di peringkat awal.

Lebih tepat lagi, Iskandar tersingkir dalam pusingan pertama dalam tiga kejohanan, termasuk tewas kepada jaguh muda dari China, Shi Yu Qi, yang muncul juara di Terbuka Perancis, selain tumpas dalam pusingan kedua Terbuka Korea Selatan.