Malaysia gagal tempatkan diri selaku penganjur tahap dua

By Staff Writer 19 March 2017
Malaysia gagal tempatkan diri selaku penganjur tahap dua

Malaysia gagal menempatkan diri selaku penganjur kejohanan badminton antarabangsa tahap dua apabila tersingkir daripada tiga pencalonan lain, iaitu China, Indonesia dan Seluruh England yang membabitkan hadiah kemenangan berjumlah USD1 juta (RM4.4 juta).

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mendapati Malaysia masih belum layak muncul selaku penganjur kejohanan antabangsa kedua tertinggi dan antara yang paling lumayan dalam penstrukturan baru kejohanan dalam satu pengumuman yang dibuat hari ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BWF, Thomas Lund, menegaskan Malaysia masih boleh membida untuk menganjurkan kejohanan tahap dua ini dalam tempoh empat tahun dari sekarang.

"Malaysia menganjurkan kejohanan yang banyak dalam struktur terbaru ini dan masih mengekalkan kedudukan di tahap tertinggi," jelas Lund.

Sementara itu, Pengurus Besar, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Lawrence Chew, akur dengan keputusan BWF.

"Kita perlu menerima keputusan ini, hari ini kamu cuba membuktikan bahawa kita mampu menjadi negara penganjur bertaraf dunia.

"Sejak saya tiba di Malaysia, kami telah melakukan pelbagai aspek baru tetapi ia perlu masa," katanya.

Penstrukturan baru ini yang bakal bermula tahun hadapan menyakskan kejohanan tahap satu penutup musim menawarkan hadiah wang tunai USD1.5 juta (RM6.6 juta).

Selain itu, BWF turut menyenaraikan kejohanan pada tahap tiga, empat dan lima berdasarkan jumlah hadiah kemenangan yang ditawarkan.

Sementara itu, Pengurusi Suruhanjaya Atlet BWF, Yuhan Tan, menegaskan isu membabitkan kemunculan semula pemain yang telah mengumumkan persaraan masih dalam perbincangan.

"Ini tentang mencari jalan terbaik di antara BWF dan atlet. Kami sudah mengadakan perbincangan tentang banyak perkara. Ini juga antara perkara yang perlu diperhalusi," katanya.

Terdahulu, timbul ura-ura menyebut mana-mana pemain yang mahu membuat kemunculan semula selepas persaraan perlu membayar denda yang melibatkan jumlah lima angka.

Ketika diajukan persoalan ini, Lund, menegaskan khabar angin itu tidak berasas.

"Khabar angin itu tidak betul. Ia hanya melibatkan peraturan penjelasan yang berkaitan dengan sistem di mana ia bukan masalah untuk pemain tidak beraksi meskipun tersenarai dalam satu kejohanan," tegasnya.

Pada masa sama, Presiden BWF, Paul Erik Hoyer Larsen, berkata dia tidak dapat memberi sebarang pandangan ekoran tidak dibenarkan menjadi sebahagian daripada perbincangan tersebut kerana Denmark turut terlibat dalam isu itu.

"Saya tidak dapat menjadi sebahagian daripada perbincangan kerana ia juga melibatkan Denmark. Ketika itu saya berada di luar bilik mesyuarat."

 

About Author

Staff Writer

Comment

Read Next

Jin Wei jalani latihan khas elak kecederaan

By 18 Mac 2017. 2.10 PM