Datuk Lee Chong Wei tidak memerlukan sebarang pembedahan ke atas lutut kirinya, dengan kecederaan ligamen kolateral medial (MCL) jaguh perseorangan itu diklasifikasikan koyak tahap sederhana.

Meskipun ada peluang tipis untuk beraksi dalam Kejohanan Seluruh England bulan depan, keutamaan kini adalah untuk tidak memudaratkan lagi kecederaannya.

Terkini, program pemulihan jaguh dunia itu sudah dirangka pegawai perubatan Institut Sukan Negara (ISN) serta Program Podium.

Chong Wei dinasihatkan terus kekal aktif tanpa latihan di gelanggang dalam tempoh dua minggu ini sebelum kedudukan kecederaannya dikaji semula.

"Ada atlet yang mampu sembuh dalam masa yang singkat atau di luar jangkaan," kata pakar perubatan sukan Program Podium, Dr Azril Syazwan Mohd Ali.

"Biasanya kami tidak memberi apa-apa jaminan melainkan kami mampu untuk menilai dari semasa ke semasa. Tidak mustahil atlet mampu sembuh di luar jangkaan kami."

Menurut Dr Azril, faktor usia tidak mempengaruhi tempoh pemulihan sesuatu kecederaan.

Jelasnya, meskipun menghampiri usia 35 tahun, Chong Wei berada dalam kalangan atlet elit paling cergas daripada sudut fizikal dan mental di Malaysia.

"Dalam aspek kecederaan yang dialami oleh Chong Wei ini, kami tidak memandang kepada peringkat umur dan faktor itu tidak memberi impak secara langsung kepada proses pemulihan tisu.

"Apa yang kami dapati, atlet-atlet seperti Chong Wei memiliki tahap kecergasaan fizikal yang baik. Rekod-rekod sebelum ini turut menunjukkan kemampuan Chong Wei untuk pulih dengan cepat," tambahnya.