Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei, menepati ramalan dengan menjuarai Terbuka Jepun buat kali keenam selepas menewaskan pemain Denmark, Jan O Jorgensen, dalam final.

Chong Wei mudah mengatasi Jorgensen dalam set pertama untuk menang 21-18.

Namun, memasuki set kedua, kesilapan demi kesilapan, terutama dalam permainan jaring, membuka peluang untuk Jorgensen menang 21-15.

Bagaimanapun, Chong Wei berjaya memperkemaskan permainan dalam set ketiga untuk menang 21-16.

Ini merupakan kejuaraan keenam Chong Wei selepas muncul juara pada tahun 2007, 2010, 2012, 2013 dan 2014.

Terbuka Jepun turut merupakan kejuaraan kelima diraih pemain no.1 dunia itu selepas mengungguli Malaysia Masters, Terbuka Malaysia, Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Indonesia.