Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurkan lapan pemain daripada skuad kebangsaan berkuatkuasa hujung bulan depan.

Pihak C&T, yang mengadakan mesyuarat hari ini dengan dipengerusikan oleh Datuk Ng Chin Chai, membincangkan beberapa perkara membabitkan skuad kebangsaan, antaranya prestasi keseluruhan setiap pemain dengan lapan nama digugurkan pada hujung bulan depan.

Selain lapan pemain itu, C&T BAM turut menerima peletakan jawatan empat pemain, iaitu gandingan beregu wanita, Tee Jing Yi-Soong Fie Cho serta Chooi Kah Ming-Low Juan Shen yang beraksi dalam saingan beregu lelaki.

Bagaimanapun, Chin Chai enggan menamakan lapan pemain berkenaan sambil menjelaskan ia merangkumi dua pemain perseorangan lelaki, empat daripada beregu lelaki serta dua daripada beregu wanita.

"Daripada senarai 67 pemain yang kami miliki hari ini, seperti yang anda ketahui, empat orang telah meletakkan jawatan. Secara rasmi, kami menerima keputusan mereka.

"Kami juga menggugurkan lapan pemain, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 12 orang," kata Chin Chai.

Dalam masa sama, Chin Chai turut mengumumkan kedudukan ketua jurulatih bahagian beregu lelaki kini diambil alih oleh Paulus Firman menggantikan Cheah Soon Kit yang masih kekal selaku jurulatih bahagian berkenaan dengan tumpuan lebih diberikan kepada gandingan muda.

Chin Chai turut menegaskan keputusan itu tidak dipengaruhi oleh desakan pemain.

"Selepas Paulus berkhidmat selama beberapa bulan, kami meneliti seluruh kem beregu kebangsaan.

"Kami percaya beregu lelaki mampu beraksi lebih baik di bawah bimbingan Paulus sambil Soon Kit memberi fokus kepada pemain-pemain muda," tambahnya.

Sementara itu, C&T BAM menyasarkan satu pingat dapat diraih oleh wakil negara dalam Kejohanan Dunia BWF yang akan berlangsung di Nanjing, China hujung bulan ini.

Harapan utama sudah pasti disandarkan kepada jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, untuk menamatkan penantian bergelar juara dunia.

Chin Chai juga mengesahkan gandingan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut akan membawa cabaran negara dalam kejohanan itu selepas penyertaan mereka disahkan oleh BWF, sekali gus menyaksikan Malaysia mempunyai tiga wakil bagi acara beregu campuran di samping Goh Soon Huat-Shevon Lai serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

"Berdasarkan perbincangan, kami menyasarkan satu pingat untuk Kejohanan Dunia. Kami percaya ia mampu dihadirkan daripada sama ada perseorangan lelaki, beregu lelaki atau beregu campuran.

"Diharapkan, lebih daripada itu mampu dicapai sambil Chong Wei muncul juara dunia."