Lapan legenda badminton negara dihimpun dalam program pembangunan Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah yang akan mencari, melatih dan mengasah bakat 96 bakal juara masa depan.

Legenda badminton itu terdiri daripada bekas pemain skuad Piala Thomas 1992 dan skuad Olimpik Malaysia, iaitu Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit, Rahman Sidek, Ong Ewe Hock, Roslin Hashim, Zakry Latif, Koo Kien Keat dan Woon Khe Wei.

Melalui program pembangunan dan kejohanan badminton yang diiktiraf di peringkat kebangsaan itu, lapan pasukan yang dibarisi 12 pemain akan dibentuk untuk berentap dalam kejohanan akhir Piala Juara Tangkis Tun Dr. Siti Hasmah yang akan berlangsung dua bulan lagi.

Rashid selaku pengarah program berkata pemain berpotensi akan dipilih berdasarkan cadangan serta penilaian daripada persatuan badminton negeri dan kelab badminton yang aktif dari seluruh negara.

"Legenda ini juga boleh mencadangkan pemain pilihan mereka sendiri untuk program ini, namun pemain yang dipilih mesti terdiri daripada mereka yang berada di luar lingkaran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ)," katanya dalam ucapan perasmian, hari ini.

Rashid berkata dia teruja untuk melaksanakan program tersebut yang akan mengenal pasti bakat baru yang berpotensi serta menilai semangat dan komitmen mereka terhadap sukan badminton.

Katanya, melalui program Juara Tangkis itu, ia akan memberi peluang kepada pemain badminton yang bercita-cita tinggi, sekali gus memupuk minat golongan muda terhadap sukan itu.

"Badminton bukan tentang merangkul kemenangan semata-mata. Ia juga menyatukan apabila semua bersama-sama meraikan semangat kesukanan dan nikmat mengecapi kemenangan," katanya.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, mengakui langkah tambahan yang diambil penganjur program berkenaan, iaitu Sports Affairs, adalah bertepatan dengan misi BAM dalam mencari bakat berpotensi untuk masa depan.

"Sebagai badan yang mengawal badminton negara, kewujudan program ini merupakan langkah tambahan kepada program sedia ada sekarang. Saya risau dengan perkembangan peringkat akar umbi. Kami di BAM mengalu-alukan bakat baru daripada program ini ke Akademi Badminton Malaysia (ABM).

"Begitu juga dengan pemain di Sekolah Sukan Bukit Jalil akan ke ABM. Kami mahu jadikan ABM sebagai satu institusi yang berprestij," katanya.

-- BERNAMA