Jurulatih badminton perseorangan wanita negara, Sairul Amar Ayob, menganggap kelemahan dalam aspek kecergasan antara punca utama kegagalan pemain untuk beraksi baik dalam perlawanan.

Sairul berkata sembilan pemain di bawah tanggungjawabnya berasakan masing-masing mempunyai kemampuan tersendiri tetapi masih ada kekurangan ketara untuk diatasi.

"Kita mempunyai pemain-pemain yang memiliki kemahiran yang agak baik, bagaimanapun, mungkin dari segi kecergasaan sedikit-sebanyak mengganggu permainan mereka. Jadi, di situ perlu ditambah baik.

"Kita mempunyai sembilan perseorangan wanita sekarang dan sepatutnya kita tidak mempunyai masalah, tetapi kualiti mereka kami perlu tingkatkan," katannya.

Sairul menjadi pilihan Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, untuk mengendalikan bahagian perseorangan wanita negara bagi menggantikan Wong Tat Meng yang ditukarkan ke bahagian perseorangan lelaki.

Meskipun tidak mempunyai pengalaman luas sebagai seorang jurulatih, ia tidak mematahkan semangat Sairul, yang perlu diberikan peluang untuk membuktikan kemampuan.

Sairul juga telah merangka beberapa pendekatan khusus dalam membantu pemain-pemain wanita negara seperti Tee Jing Yi, Sonia Cheah serta juara remaja dunia, Goh Jin Wei, untuk mempamerkan aksi lebih konsisten.

Jelasnya lagi, tidak banyak perbezaan dari segi latihan di antara pemain zaman kini jika dibandingkan semasa dia menjadi seorang pemain sedikit masa lalu.

"Ini, hari pertama saya datang. Saya rasa corak latihan sama dan kami nampak program latihan di dalam gelanggang juga tetap sama. Mungkin, di dalam gimnasium atau di trek larian akan berbeza," katanya.

Jing Yi yang membuat penampilan pertama selaku pemain profesional pada 2005, merupakan pemain terbaik perseorangan wanita negara dengan buat masa ini menghuni ranking ke-29 dunia.

Pemain wanita negara

• Tee Jing Yi
• Goh Jin Wei
• Ho Yen Mei
• Lee Ying Ying
• Lim Yin Fun
• Sonia Cheah
• Lee Zii Yii
• S. Kisona
• M. Thinaah