Tahun Baru Cina satu-satunya perayaan yang dimanfaatkan sepenuhnya skuad badminton negara tetapi empat pemain beregu campuran muda negara berkorban dengan memendekkan masa bersama keluarga demi persiapan menghadapi kejohanan.

Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara hari ini tetap riuh ketika sebahagian besar pemain negara pulang ke kampung halaman.

Ia berbeza dengan gandingan Hoo Pang Ron-Peck Yen Wei dan Chen Tang Jie-Cheah Yee See yang tetap menjalani latihan sekalipun hanya akan berlepas ke Basel malam esok bagi menghadapi Terbuka Switzerland, bermula Selasa hingga 25 April ini.

Empat pemain itu yang dianggap pelapis berbakat kepada skuad senior seperti Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, sedar pengorbanan seperti ini diperlukan untuk menjadi pencabar dalam sirkit antarabangsa.

"Saya rasa sedikit sedih sebab tidak dapat bersama keluarga tetapi saya mahu cuba yang terbaik dalam kejohanan," kata Yee See.

Tang Jie pula berkata: "Jurulatih mahu kami mengambil banyak pengalaman dalam kejohanan. Cuma, kami perlu memendekkan sedikit masa bersama keluarga dalam perayaan tahun ini."

"Sedih itu memang sedih tetapi dapat menyertai kejohanan di Switzerland bukan perkara kecil. Kami akan dapat banyak pengalaman di sana," tambah Pang Ron.

Dalam pada itu, mereka juga menyusuri pengalaman unik sejak diserapkan dalam skuad negara dengan berpeluang beraksi bersama pemain senior dalam waktu-waktu tertentu.

Misalnya, Tang Jie yang pernah bergandingan dengan Liu Ying sebelum ini.

Sebelum memiliki gandingan tetap, mereka berpandangan kejohanan seperti Terbuka Switzerland adalah platform untuk mendapat kepercayaan barisan jurulatih negara.

"Sudah tentu jurulatih akan mencari pasangan terbaik untuk kami. Perkara itu akan diputuskan oleh jurulatih," jelas Pang Ron.