Konflik Chong Wei, Frost makin tegang

By Staff Writer 8 February 2017
Konflik Chong Wei, Frost makin tegang
Hubungan Datuk Lee Chong Wei dan Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, dikatakan semakin tegang berikutan insiden yang berpunca daripada kecederaan yang dialami pemain nombor satu dunia itu, Sabtu lalu.

Amarah Chong Wei makin membara, bermula dengan sikap BAM tidak mengambil peduli tentang saranannya agar menukar permukaan gelanggang di Akademi Badminton Malaysia sehingga dia mendapat kecederaan ligamen kolateral medial (MCL) pada lutut kirinya.

Frost didakwa menyarankan Chong Wei untuk bersara kerana khuatir kecederaan itu mungkin menamatkan karier pemain itu.

Tinjauan Nadi Arena di Akademi Badminton Malaysia di Bukit Kiara hari ini menyaksikan suasana tegang di antara kedua-dua pihak sehingga tidak bertegur sapa.

"Saya sekali lagi mengatakan saya tidak boleh komen dalam waktu ini. Ini bukan masa yang sesuai untuk melakukannya," kata Frost.

"Saya akan bercakap dengan pegawai BAM dan kita akan lihat apa yang akan berlaku."

Selain enggan mengeruhkan keadaan, Frost bertegas konflik yang dihadapinya ketika ini tidak menganggu fokus pemain lain dalam skuad negara, apatah lagi Malaysia bakal menghadapi Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Vietnam, 14 Februari ini. 

"Saya fikir suasana dalam keadaan baik. Saya fikir sesi latihan berjalan baik dan semua pemain berlatih dengan gigih. Semuanya baik," tambahnya.
 

About Author

Staff Writer

Comment