Pemain beregu lelaki profesional negara, Koo Kien Keat, berhajat untuk mengakhiri kerjayanya dengan satu kejuaraan bersama Tan Boon Heong apabila bakal bersara daripada dunia badminton selepas tamat Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong, 22-27 November ini.

Kien Keat, yang sinonim dalam acara beregu lelaki bergandingan dengan Boon Heong, telah berjaya membawa pelbagai kejayaan kepada negara ketika zaman kegemilangan mereka.

Bagaimanapun, selepas mengalami kemerosotan, ditambah pula Boon Heong bakal bertukar gandingan baru, Kien Keat kelihatan sudah tawar hati untuk bermain badminton.

Justeru, Terbuka China dari 15-20 November dan Terbuka Hong Kong dari 22 November, adalah aksi terakhir mereka digandingkan bersama.

"Terbuka Hong Kong dan China nanti akan menjadi kejohanan terakhir kami dan selepas ini, saya akan keluar dari bidang badminton dan melakukan perniagaan.

"Saya sudah sedia untuk melakukan sesuatu yang baru. Saya akan bersara daripada dunia badminton "

Tidak terfikir untuk menjadi jurulatih selepas bersara kerana enggan terikat dengan mana-mana pihak, Kien Keat, bagaimanapun, tidak menolak kemungkinan untuk membantu jika khidmatnya diperlukan.

"Kalau saya mahu menjadi jurulatih, saya tidak mahu ia secara tetap untuk sesiapa, untuk BAM (Persatuan Badminton Malaysia) atau untuk negara-negara lain. Saya mahu cuba bantu sahajalah. Saya masih berminat dengan perniagaan," kata Kien Keat.

Kien Keat dan Boon Heong mula mencipta nama ketika meraih emas Sukan Asia di Doha pada 2006 dan hampir bergelar juara dunia 2010 di Paris.

Selepas Terbuka China dan Hong Kong, jadual badminton dunia akan melabuhkan tirainya dengan aksi Siri Super Final di Dubai dari 14-18 Disember ini.