Kian Meng-Pei Jing di landasan tepat buru kejuaraan Malaysia Masters

By Staff Writer 19 January 2017
Kian Meng-Pei Jing di landasan tepat buru kejuaraan Malaysia Masters
Dua kemenangan mudah yang diraih tidak seharusnya membawa gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, berasa terlalu selesa untuk memastikan kemaraan seterusnya dalam Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Malaysia Masters di Sibu, Sarawak.

Tidak dinafikan, beregu campuran nombor dua negara itu tidak perlu 'bermandi peluh' dalam mengharungi laluan mereka ke suku akhir.

Selepas mudah menewaskan pasangan Indonesia, Ferdinand Sinarta Surbakti-Cynthia Shara Ayundha, dalam pusingan pertama kelmarin, wakil negara itu juga tidak berdepan kesukaran dalam pusingan kedua, hari ini.

Kemenangan straight set dinoktahkan ke atas pasangan Malaysia-Indonesia, Mohamad Arif Abdul Latif-Rusydina Antardayu Riodingin, sekali gus menepati label mereka selaku pilihan kedua kejohanan.

Kian Meng-Pei Jing mengambil masa 23 minit untuk menewaskan lawan 21-6, 21-12.

Begitupun, Pei Jing kekal dengan sikap berwaspada terhadap persembahan yang mereka pamerkan setakat ini.

"Kami kena fokus dalam perlawanan walaupun lawan kami sukar ataupun tidak. Kalau selepas ini kami bertemu dengan lawan yang sukar, kami tidak akan rasa gementar lagi. Ia kerana kami sudah lebih bersedia untuk mengatasi masalah itu," katanya.

Menanti Kian Meng-Pei Jing dalam suku akhir esok adalah pilihan kelima dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Menurut Pei Jing lagi, dia serta Kian Meng semakin menemui semula rentak yang menyaksikan kecemerlangan mereka sepanjang 2016 dan berharap ia mampu dijelmakan semula kali ini.

Motivasi tambahan buat mereka sudah pasti ingin menebus kekecewaan tahun lalu di mana mereka sekadar muncul naib juara. 

"Kami ingin memberi tekanan kepada lawan. Mengenai persembahan, masih tidak berapa baik kerana belum pulih sepenuhnya tetapi kami akan cuba. Kami harus bekerja keras untuk terus meraih kemenangan," tambah Pei Jing.

Keputusan:

Shevon Jemie Lai/Goh Soon Huat (MAS) mn Satrya Aditha/Aghisna Fathkul Laili, 21-7, 21-6.

Cheung Ngan Yi mn Lim Yin Fun (MAS), 21-13, 21-11.

Terry Hee Yong Kai/Kean Hean mn Teo Kok Siang/Hoon Thien How (MAS), 21-17 (undur diri).

Mak Hee Chun/Chun Hei Tam mn Tan Tean Chee/Tan Wee Gieen (MAS), 21-15, 21-19.

Chow Mei Kuan/Vivian Hoo (MAS) mn NG Tsz Yau/Nga Ting Yeung 21-9, 21-9.

Lim Yin Loo/Yap Cheng Wen (MAS) mn Amelia Alicia Anscelly/Teoh Mei Xing (MAS), 21-12, 21-11.

Keshya Nurvita Hanadia/Devi Tika Permatasari mn Kah Mun Chin/Zhen Yap (MAS), 21-17, 21-15.

Anthony Sinisuka Ginting mn Chong Wei Feng (MAS), 21-15, 23-21.

Lee Ying Ying (MAS) mn Hsu Ya Ching, 21-8, 21-8.
 

About Author

Staff Writer

Comment