Bekas juara beregu lelaki Siri Super Terbuka Malaysia, Lim Khim Wah, menegaskan kepulangannya ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bukan kunjungan pendek tetapi ia permulaan kepada sesutau yang lebih baik.

Selepas meninggalkan badan induk itu pada 2015, pemain berusia 29 tahun dari Pulau Pinang itu sedar cabaran sukar dilaluinya sebagai pemain profesional.

Tetapi kematangan dalam perwatakan dan aksi dalam gelanggang adalah antara faktor BAM menawarkan tempat dalam kem kebangsaan buat Khim Wah.

Atas dasar itu, dia berasakan tempoh percubaan tiga bulan mahu dibuktikan dengan komitmen bagi membantu mengeluarkan skuad beregu lelaki daripada kehambaran.

"Bagi saya, kali ini lebih penting kerana ia adalah Piala Thomas dan berbeza dengan kejohanan terbuka sebelum ini. Saya tidak begitu memikirkannya, hanya melakukan yang terbaik.

"Saya tidak kecewa jika tidak dipilih dan akan berusaha lebih keras. Selepas memilih untuk kembali ke BAM, saya harus bertanggungjawab," kata Khim Wah yang menyertai kem negara awal bulan ini.

Selepas tiga minggu kembali berlatih di Akademi Badminton Malaysia, sasaran jangka masa pendek Khim Wah adalah untuk menempatkan diri dalam skuad Piala Thomas.

Tetapi lebih penting, katanya, adalah membentuk kombinasi yang berupaya meringankan beban gandingan utama, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong.

Kali terakhir beregu Malaysia memenangi gelaran perdana Terbuka Malaysia adalah empat tahun lalu ketika Khim Wah bergandingan bersama V Shem.

"Sekarang, Wee Kiong dan V Shem berpeluang di pentas Terbuka Malaysia. Jadi, selepas empat tahun, saya masih berbangga kerana tiada pemain yang memenanginya," kata Khim Wah lagi.