Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan memberikan sebarang bantuan terhadap dua pemain badminton profesional negara yang akan menghadapi proses pendengaran kes mengatur perlawanan.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah menetapkan Isnin dan Selasa depan sebagai tarikh pendengaran kes yang akan diadakan di Singapura.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata pihaknya tidak akan melindungi mana-mana atlet yang terlibat dalam kes tersebut.

"Maka mereka berdepan dengan proses siasatan seterusnya dan sekiranya terbukti (bersalah), ini adalah satu kesalahan jenayah.

"Bagi saya, tiada apa-apa perlindungan kepada mana-mana pemain yang terlibat dalam mengatur perlawanan. Mereka harus mempertahankan diri dalam mahkamah," katanya.

Sebelum ini, BAM mengumumkan dua pemain negara digantung sementara oleh BWF selepas didakwa terbabit mengatur perlawanan.

Walaupun pemain terbabit bukan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), badan induk itu akan menghantar Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Jadadish Chandra, sebagai pemerhati.