Khairy mahu V Shem dan Wee Kiong tambah trofi kejuaraan

By Amirul Azreen 24 October 2016
Khairy mahu V Shem dan  Wee Kiong tambah trofi kejuaraan

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mahukan Goh V Shem dan Tan Wee Kiong menambahkan lagi koleksi kejuaraan mereka selepas pencapaian meraih pingat perak dalam Sukan Olimpik Rio, Ogos lalu.

Untuk rekod, gandingan ini tiga kali menjejakkan kaki ke separuh akhir saingan Siri Super tahun ini -- Seluruh England, Terbuka India dan Korea Selatan -- tetapi gagal mengakhirinya dengan kejuaraan.

Kejayaan terbaru memenangi Terbuka Denmark harus jadi pembuka mata bahawa segala-galanya mampu dicapai andai dapat kekal konsisten sepanjang musim.

"Ranking mereka semakin naik, tujuh di dunia tetapi ranking Siri Super nombor satu. Jadi, mereka tiada alasan selain merangkul lebih banyak kejuaraan selepas ini.

"Mereka merupakan pemain beregu lelaki yang sangat mantap. Mereka hampir membawa pulang pingat emas di Olimpik Rio.

"Jadi, agak pelik kerana ini kejuaraan pertama mereka. Jelas masalah utama V Shem dan Wee Kiong ketika ini berkait rapat dengan isu konsistensi," jelasnya.

Sejak digandingkan bersama pada 2014, V Shem/Wee Kiong kini menghuni ranking ke-7 dunia.

Setakat ini, gandingan Korea Selatan, Lee Yong Dae dan Yoo Yeon Seong masih beregu lelaki terbaik dunia.

About Author

Amirul Azreen

Comment