Impian perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, dalam pemburuan gelaran juara dunia berakhir awal apabila tunduk kepada lawan kurang ternama dari Perancis, Brice Leverdez, dalam pusingan pertama Kejohanan Dunia, sebentar tadi.

Dalam aksi di Glasgow itu, Chong Wei terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set yang berlanjutan selama 1 jam 15 minit.

Leverdez, 31, yang mendahului selesa dalam set pertama, berjaya menamatkan permainan 21-19 di sebalik kebangkitan lewat yang dipamerkan Chong Wei.

Skrip yang hampir sama berulang dalam set seterusnya.

Chong Wei, yang kembali di bawah tunjuk ajar Datuk Misbun Sidek, pada suatu ketika ketinggalan 13-18, namun memperagakan semangat tidak mudah berputus asa untuk menghasilkan kebangkitan dramatik.

Leverdez yang ketika itu di ambang kemenangan pada kedudukan 22-21, bagaimanapun, dipaksa mengharungi set ketiga apabila mata memihak kepada Chong Wei selepas juara Seluruh England sebanyak empat kali itu mencabar keputusan penjaga garisan sebelum menang 24-22.

Bagaimanapun, jaguh negara itu terus bergelut untuk mempamerkan rentak sebenarnya.

Chong Wei akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa lawan yang pernah mengalahkannya dalam Terbuka Denmark tahun lalu itu mengulangi pencapaiannya untuk mengakhiri permainan 21-17 dalam set penentuan.

Ini adalah pencapaian terburuk Chong Wei dalam kempen Kejohanan Dunia sejak kemunculan sulungnya di Anaheim, Amerika Syarikat pada 2005.