Selepas Datuk Lee Chong Wei disahkan mengalami kecederaan lutut, kem badminton negara menerima satu lagi berita buruk apabila perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, turut dibelenggu kecederaan.

Seperti Chong Wei, impian Jin Wei untuk membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Seluruh England bulan depan juga musnah.

Selain itu, Jin Wei juga terlepas peluang untuk mengetuai cabaran negara dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, 14-19 Februari, dengan tempatnya digantikan Lee Ying Ying.

Jin Wei berkata kecederaan buku lalinya dijangka pulih tidak lama lagi dan berharap dapat menyertai Siri Super Terbuka Malaysia, April ini.

"Mengecewakan kerana ia (Seluruh England) adalah kejohanan yang penting tetapi saya mengambilnya dari sudut positif. Saya tidak mahu mengambil risiko terhadap kecederaan saya."

Jin Wei mengakui dia perlu lebih matang dalam membentuk perwatakan sebagai pemain senior, termasuk mengubah corak permainan dan tidak terlalu agresif ketika di dalam gelanggang.

"Mungkin saya ada latihan sendiri, ia dilakukan dengan cara yang salah atau memberi banyak tekanan," katanya.

"Ia mungkin menjadi punca kecederaan saya. Sasaran saya hanya untuk memulihkan kecederaan ini."