Pemain perseorangan lelaki para negara, Cheah Liek Hou, menamatkan kemarau 16 bulan tanpa gelaran juara apabila memenangi dua gelaran kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas badan) dalam Kejohanan Badminton Para Antarabangsa Thailand di Bangkok, hari ini.

Pemain berumur 31 tahun itu, yang pernah memenangi 11 kejuaraan dunia -- enam dalam acara perseorangan lelaki dan lima dalam acara beregu lelaki -- mempamerkan kehebatannya dengan menumpaskan Fang Jen-Yu dari Taiwan, 21-14, 21-17 dalam acara perseorangan lelaki di Huamark Indoor Stadium, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF): www.bwfbadminton.com.

Liek Hou, yang kemudian berpasangan dengan Ahmad Azri Mohd Faris, turut menjuarai acara beregu lelaki dengan menewaskan pasangan Thailand, Watcharaphon Chok-Uthaikul-Pricha Somsiri, 21-14, 21-14.

Untuk rekod, kali terakhir pasangan nombor empat dunia itu meraih gelaran juara adalah dalam Kejohanan Antarabangsa Uganda, Mei tahun lalu.

Pemain perseorangan wanita para negara, Yanti Aspar, bagaimanapun, gagal mengikuti jejak kecemerlangan Liek Hou selepas ditumpaskan pemain pilihan kedua dari Korea Selatan, Chai Saeyang, 5-21, 8-21.

-- BERNAMA