Pilihan utama perseorangan lelaki, Lee Zii Jia menepati ramalan apabila melepasi halangan pertama dalam kejohanan Badminton Kebangsaan 2019 yang berlangsung di Arena Badminton Perak, Ipoh.

Begitupun kemenangan tidak mudah buat Zii Jia apabila diberi tentangan oleh pencabar muda, Kok Jing Hong, 21-19, 21-17 dalam perlawanan selama 36 minit.

"Saya melakukan banyak kesilapan, menyebabkan pencabar saya mengutip banyak mata mudah," katanya selepas perlawanan.

Berikutan itu, Zii Jia sedar dia perlu memperkemas permainan jika ingin mara jauh dalam kejohanan itu.

Bagaimanapun pemain berasal dari Kedah itu berkata sasarannya bukan untuk menjuarai kejohanan ini, sebaliknya sebagai medan menjalani latihan.

Sementara itu, pilihan kedua kejohanan, Liew Darren terpaksa menarik diri gara-gara masih mengalami kecederaan.

Pemain itu yang diundi bertemu Lee Shun Yang hanya beraksi tidak sampai seminit sebelum mengisyaratkan ingin berhenti ketika kedudukan 3-0.

Turut menarik diri ialah pilihan keenam, Mohamad Misbun Ramdan Misbun, yang berhenti pada kedudukan 11-7 ketika bertemu Lim Chong King.

Pilihan ketiga, Soong Joo Ven, turut meneruskan kemaraan selepas merakamkan kemenangan ke atas Goh Wai Yap 21-16, 21-15.