Pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia, mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di St. Jakobshalle, Basel, Switzerland.

Pemain ranking ke-13 dunia itu beraksi cemerlang, menewaskan pilihan kelapan dari Jepun, Kenta Nishimoto, 21-15, 11-21, 22-20, dalam pusingan ketiga, semalam.

Zii Jia bakal berhadapan tugas berat dalam aksi suku akhir apabila menantinya ialah juara bertahan yang juga pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota.

Zii Jia, yang pernah menidakkan pemain berstatus elit seperti Chen Long yang merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, optimis pemain berpengalaman seperti Momota juga mampu dijinakkan.

"Persembahan Momota musim ini juga dilihat tidak begitu konsisten dan saya berasakan dia mampu ditewaskan," katanya.

Pemain berusia 21 tahun itu juga akur semangat membara sahaja tidak memadai untuk dibawa sebagai bekalan berentap dengan Momota.

Atas dasar itu, dia menegaskan perlu mengatur strategi bersama barisan kejurulatihan untuk mencerahkan peluang mencipta kejutan di Basel.

"Kami akan berbincang mengenai strategi yang diperlu untuk berdepan Momota kerana saya pernah turun bertemunya dalam Piala Sudirman. Banyak perkara yang harus dinilai untuk menghadapi perlawanan ini," ujarnya.