Beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mempersiakan peluang untuk menjejakkan kaki di atas podium Kejohanan Badminton Dunia 2019 selepas gagal memanfaatkan kelebihan ketika pertembungan suku akhir menentang gandingan Jepun, hari ini.

Skrip Peng Soon-Liu Ying untuk mencipta sejarah di St. Jakobshalle, Basel, Switzerland sudah tersedia saat mereka mengungguli set pertama 21-18 ke atas Yuta Watanabe dan Arisa Higashino.

Turut menjadi sandaran semangat adalah rekod pertemuan terdahulu yang baik menentang lawan mereka itu dengan catatan empat kemenangan berbalas dua.

Set berikutnya bermula dengan baik buat wakil negara itu tetapi faktor keletihan dilihat membuatkan mereka membenarkan lawan menguasai rentak permainan.

Tewas 12-21 dalam set kedua, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu terus hilang arah dalam set penentuan sebelum tewas 11-21.

"Sayang sekali kerana kami menang dalam set pertama. Kami tidak bawa kelebihan itu dalam set seterusnya," kata Peng Soon.

"Lawan meningkatkan kelajuan dalam set kedua, kemudian hanya menyerang. Ia menyebabkan kami terlalu bertahan. Selepas gagal meneruskan kemenangan dalam set kedua, kami tampak hilang keyakinan. Jadi, memang terkilan," tambah Liu Ying.

Sementara itu, beregu lelaki yang diketuai gandingan profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, turut mengikut jejak beregu wanita terkandas dalam pusingan ketiga sebelum sempat mencabar kejuaraan.

Sebanyak empat beregu lelaki negara melakukan penampilan di Basel, yang menyaksikan dua daripada kem kebangsaan dan dua lagi daripada skuad profesional tetapi tiada sebarang wakil yang berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terakhir, termasuk V Shem-Wee Kiong susulan kekalahan 21-23, 21-11, 21-11 di tangan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Rian Ardianto, semalam.

"Peluang memang ada. Sebelum beraksi, kami memberitahu diri sendiri agar tidak banyak berfikir dan cuba menang tetapi aksi tidak lancar dalam set kedua dan ketiga," kata Wee Kiong.

"Saya rasa semua pemain tidak mahu kalah. Setiap hari berlatih dan berusaha untuk menang apabila turun beraksi. Mungkin ada kekurangan, jadi kami perlu usaha lebih kuat."

Dalam masa sama, kedua-dua pemain itu mengakui beregu kebangsaan lain seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Arif Abdul Latif-Azriyn Ayub serta Ong Yew Sin-Teo Ee Yi kini sedang berusaha untuk mendapatkan status gandingan nombor satu negara sambil menegaskan tiket ke Olimpik Tokyo 2020 tetap menjadi sasaran utama.

"Saya rasa tiga lagi gandingan lelaki mahu menjadi beregu nombor satu negara. Bagi saya dan Wee Kiong, kami tidak fikirkannya dan cuba fokus dalam setiap perlawanan," ujar V Shem.