Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou, menghampiri pemburuan kejuaraan dalam Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland apabila mara ke separuh akhir hari ini.

Secara keseluruhan, dia sudah menempuhi lima perlawanan perseorangan di bawah klasifikasi
SU 5 sejak permulaan kempen itu Khamis lalu.

Ia tidak termasuk penyertaannya dalam saingan beregu lelaki SU 5 bersama gandingannya, Faris Ahmad Azri.

Di peringkat kalah mati acara perseorangan, dia menewaskan He Zhirui dari China sebelum menidakkan pemain Perancis, Meril Loquette.

Selepas penyingkiran wakil normal negara -- termasuk pemain profesional -- dalam Kejohanan Dunia, Liek Hou kini bertanggungjawab untuk membawa pulang kejayaan ke tanah air.

Bagaimanapun, dia sedar perebutan tiket ke final itu terlalu sengit memandangkan dia akan menentang seteru utamanya dari Indonesia, Deva Anrimushti, dalam separuh akhir esok.

"(Prestasi) hari ini lebih baguslah berbanding semalam dan dua hari lepas kerana gelanggang 1 itu, sebelum ini, kami telah mengujinya, jadi saya sudah biasakan diri.

"Saya tidak akan menjadikannya sebagai satu tekanan dan akan fokus kepada permainan saya sahaja.

"Kondisi saya bukan 100 peratus bagus tetapi berbanding semalam, saya rasa permainan saya ada peningkatan," katanya.