Datuk Lee Chong Wei melihat China goyah tanpa 'supremo' mereka, Li Yongbo, untuk menghadapi Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, dari 21 hingga 27 Ogos ini.

Rombakan struktur kejurulatihan kebangsaan China menyaksikan Yongbo memegang portfolio bersama majlis Olimpik mereka pertengahan pada tahun ini.

Sementara itu, Chong Wei dan Malaysia kembali memiliki Datuk Misbun Sidek sebagai ketua jurulatih perseorangan sejak Julai lalu.

Yongbo disifatkan sebagai perancang utama setiap kegagalan Chong Wei apabila berdepan anak buahnya di pentas tertinggi dunia, antaranya final Kejohanan Dunia 2015 dan Sukan Olimpik Rio 2016.

"Setakat ini, selepas Yongbo meletakkan jawatan, kita dapat melihat mereka sedikit goyang. Kita tidak boleh fikir pihak lawan kerana kita harus memikirkan diri sendiri.

"Kelebihan kepada saya adalah jurulatih (Datuk Misbun Sidek) datang semula. Saya harap saya bermain lebih bagus dan dapat keyakinan."

Chong Wei, yang akan berlepas ke Glasgow, Rabu ini, turut berkongsi apa yang sedang bermain dalam fikirannya.

"Sekarang ini, rehat dan makan adalah yang paling penting. Kalau cakap latihan kecergasan atau taktikal, kita sudah berlatih satu bulan lepas.

"Kini kami perlu bermula dengan fokus dan mental perlu kuat," tambahnya.