Skuad badminton negara perlu mempamerkan aksi luar biasa jika berhasrat untuk mengungguli edisi sulung Kejohanan Berpasukan Campuran Asia kerana pasukan pilihan seperti China dan Jepun bakal menurunkan pemain senior.

Malaysia mengesahkan akan menghantar barisan pelapis ke saingan itu di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, 14-19 Februari ini.

Iskandar Zulkarnain Zainuddin akan mengetuai cabaran negara yang turut membariskan permata remaja, Goh Jin Wei, serta beregu lelaki, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin.

China difahamkan sudah menghantar senarai pemain yang memiliki pengalaman beraksi di pentas Sukan Olimpik dan pemain yang berada di ranking nombor satu dunia.

Malah, India juga akan menampilkan kudrat pemain senior dalam perebutan kejuaraan pemanas badan sebelum kempen Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, Mei depan.

"Saya tidak rasa cukup adil jika saya mendedahkan senarai pemain yang bakal diturunkan tetapi saya boleh memberikan bayangan pasukan China akan menurunkan pemain-pemain yang terbaik," kata Pegawai Operasi Badminton Asia, Kenny Goh.

Badminton Asia pada masa sama melihat senario itu sebagai sesuatu yang memberangsangkan bagi penganjuran kejohanan kali pertama.

Malah, secara keseluruhan 14 negara, termasuk Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. akan berentap dalam edisi sulung itu.

"Saya percaya memang Malaysia mampu meraih kejayaan dalam Piala Sudirman, namun harus berwaspada bahawa negara-negara Asia akan membuat persiapan yang rapi dan menguji kebolehan mereka dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia nanti."