Pengarah Teknikal, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost, berpandangan skuad yang dibentuk untuk membawa cabaran Malaysia dalam Kejohanan Berpasukan Campuran Asia di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, bukan barisan pelapis negara.

Sebaliknya, mereka wajar dianggap barisan senior meskipun tidak menampilkan kudrat elit seperti Datuk Lee Chong Wei.

Kecuali perseorangan wanita, Malaysia mempertaruhkan skuad yang diketuai pemain nombor dua negara dalam kategori masing-masing.

Misalnya, Iskandar Zulkarnain Zainuddin buat perseorangan lelaki sementara beregu campuran ditunjangi Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Frost menganggap ini perkembangan positif memandangkan Malaysia tidak lagi terlalu bergantung kepada kudrat bertaraf ikon.

"Saya percaya kita masih lagi di peringkat awal fasa pembangunan.

"Kita memiliki 65 pemain senior dan 40 daripada mereka adalah di bawah umur 22 tahun.

"Kita mempunyai skuad muda yang perlu dibentuk dengan menawarkan mereka peluang untuk berbuat demikian," katanya.

Aksi sulung kejohanan ini menyaksikan Malaysia sebagai pilihan keempat selepas diundi sekumpulan bersama-sama Indonesia dan Sri Lanka.

Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir meskipun pilihan lain seperti China dan Jepun dilaporkan menampilkan barisan utama.

"Ia adalah undian yang baik untuk kami dan baguslah Indonesia ditempatkan dalam kumpulan yang sama.

"Ini kerana dua pasukan teratas akan layak ke peringkat kalah mati, seterusnya mengelak pertembungan sesama sendiri.

"Kami berpeluang untuk menguji Indonesia lebih awal dan sekiranya kita menang, ini bermakna pasukan negara akan berada di kelompok empat pasukan terbaik dan boleh mengelak pasukan China."