Pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia, gagal merealisasikan harapan Malaysia ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Remaja Dunia 2016 selepas tewas kepada pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo, 21-19, 21-18, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Bilbao menyaksikan cabaran wakil tunggal negara beraksi untuk merebut slot final selepas pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie/Toh Ee Wei tewas kepada beregu dari China, He Jiting/Du Yue 21-14, 21-11.

Dalam set pertama, kedua-dua pemain saling melancarkan asakan untuk meraih mata. Zii Jia bangkit selepas ketinggalan 16-11 untuk menjadikan kedudukan 16-16, namun pukulan smash yang liar daripada Zii Jia menyaksikan set pertama memihak kepada Chico.

Skrip yang sama berulang pada awal set yang kedua, Zii Jia memperkemaskan permainan di depan jaring untuk mendahului perlawanan 18-16.

Namun, kekuatan mental dimiliki Chico untuk mengawal tekanan dan berjaya mengutip lima mata secara berturut-turut untuk memenangi perlawanan 21-18, sekaligus menempah slot final untuk bertemu pemain dari China, Sun Feixiang.