Kejohanan Badminton Kebangsaan 2017 di Ulu Kinta, Perak yang berakhir semalam, menjadi platform kebangkitan beberapa pemain muda untuk menempa nama.

Antaranya perseorangan wanita, M. Thinaah, yang meraih kejuaraan pertamannya dalam kejohanan senior selepas menumpaskan Lim Yin Fun 23-21, 21-8 dalam final.

Pemain berusia 19 tahun ini baru sahaja menyertai skuad senior sejak tahun lalu dan berazam untuk terus berusaha menjadi sandaran negara pada masa akan datang.

"Kebanyakannya saya mara ke separuh akhir tetapi untuk mara ke final itu, saya masih kekurangan beberapa faktor tetapi terima kasih kepada jurulatih Sairul (Amar Ayob) yang banyak membantu saya untuk mencapai kemajuan," jelas Thinaah.

Aksi Goh Soon Huat dan Shevon Jamie Lai turut mencuri tumpuan dalam acara beregu campuran apabila menewaskan lawan lebih berpengalaman, Chan Peng Soon dan Chow Mei Kuan.

Lim Chi Wing dalam perseorangan lelaki juga tidak mengecewakan dengan mengukuhkan lagi statusnya sebagai juara kebangsaan buat kali kedua apabila mempamerkan aksi terbaik sepanjang kempen kejohanan ini.

"Tahun ini sangat bermakna bagi saya kerana saya berdepan ramai lawan lebih hebat, antaranya Zulfadhli (Zulkifli), (Misbun) Ramdan dan Song Joo Ven," jelas Chi Wing.