Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, gagal meneruskan kemaraan apabila terkandas dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (ABC) di China, hari ini.

Wakil Indonesia, Ricky Karanda-Debby Susanto, menghadirkan kekecewaan buat pasangan beregu negara biarpun cuba bangkit pada penghujung set kedua sebelum tewas 16-21, 24-26 dalam tempoh 47 minit.

Bagaimanapun, nasib berbeza ditempuhi pemenang pingat perak beregu lelaki Sukan Olimpik Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang diberi tentangan sengit sebelum melepasi pusingan kedua.

Selepas selesa menawan set pertama 21-16, V Shem-Wee Kiong dipaksa berhempas-pulas sebelum menyingkirkan Berry Angriawan-Hardianto dari Indoensia 21-18.

Kemenangan itu menebus kehampaan mereka disingkirkan lawan sama dalam Terbuka Singapura, tahun lalu.