Kejayaan meraih kedudukan naib juara Seluruh England memberi momentum positif buat pemain beregu campuran, Goh Liu Ying, untuk mengekalkan rentak berkenaan menjelang Terbuka India dan Terbuka Malaysia.

Tahun 2017 menyaksikan permulaan baik buat Liu Ying bersama gandingannya, Chan Peng Soon, apabila melakar sejarah menjadi pasangan beregu campuran pertama negara untuk bergelar naib juara Seluruh England.

Dua lagi kejohanan menanti mereka selepas ini, iaitu Terbuka India dan Terbuka Malaysia.

Saingan Terbuka Malaysia lebih mendapat perhatian kerana mereka pastinya ingin menebus kehampaan tahun lalu apabila tumpas kepada gandingan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyatna Nasir, dalam final.

"Sebenarnya, saingan yang menanti kami dalam Terbuka Malaysia agak sukar kerana bakal berdepan beregu pilihan utama dalam suku akhir. Saya berharap kami dapat memberikan yang terbaik," kata Liu Ying.

Kelibat beregu campuran ini pastinya menjadi antara sandaran negara dalam Kejohanan Piala Sudirman di Gold Coast, Australia pada Mei.

Selain itu, Liu Ying turut mengidamkan keputusan lebih baik mampu diperoleh dalam Kejohanan Dunia di Glasgow pada Ogos nanti.

Dia juga berharap tahun 2017 dapat diharungi tanpa sebarang masalah kecederaan serius yang mampu menjejaskan peluangnya beraksi.