Kecederaan pergelangan kaki kiri membataskan hasrat perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, apabila terkandas dalam pusingan kedua Kejohanan GP Emas Masters Malaysia 2017 hari ini.

Jin Wei tidak berada di tahap terbaik menjelang penyertaannya dalam kejohanan ini apabila mengalami kecederaan ringan di pergelangan kaki kirinya.

Namun, atas semangat untuk mewakili negara, dia tetap bersama skuad kebangsaan ke Sibu meskipun menyedari risiko andai kecederaan itu berlarutan.

Nyata, dia tidak mampu memberi tentangan kepada pemain Taiwan, Lee Chia Hsin, tatkala kecederaan menghalangnya daripada mempamerkan kepantasan di atas gelanggang.

Set pertama dimenangi Chia Hsin 21-12 untuk memberikannya momentum lebih selesa bagi memasuki set berikutnya.

Jin Wei tidak mengalah dan cuba memberi tentangan dalam set berkenaan, dengan pada satu ketika perlawanan berlangsung sengit di kedudukan 7-7.

Begitupun Chia Hsin kembali menemui rentak di sebalik kebimbangan Jin Wei mengenai kecederaannya, menyaksikan lawan memperoleh kemenangan 21-10.

"Sebelum beraksi lagi, saya ada berasa sedikit kesakitan. Saya ada makan ubat dan meletakkan ais tetapi keadaan saya masih sama. Saya berharap kecederaan ini sempat pulih," ujar Jin Wei.

Turut mengalami kekecewaan ialah pemain profesional negara, Chong Wei Feng, dalam saingan perseorangan lelaki.

Berdepan pemain Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, dalam pusingan ketiga, Wei Feng gagal memulakan aksi dengan baik, sebaliknya memberi terlalu banyak ruang kepada lawan.

Set pertama dimenangi Anthony 21-15.

Hanya dalam set berikutnya, Wei Feng menyerlahkan kebangkitan apabila mendahului Anthony 14-9 sebelum dia hilang fokus untuk memberikan mata mudah kepada lawan.

Berlanjutan hingga ke 20-20, Anthony manfaatkan peluang untuk menamatkan pertemuan ini dengan kemenangan 23-21.

"Sangat sayang kerana saya sudah mendahului dalam set kedua. Fokus saya hilang dalam percubaan untuk mengutip mata," jelas Wei Feng.

Kekalahan Wei Feing sekaligus menamatkan perjuangan perseorangan lelaki negara dalam misi muncul juara di Sarawak.