Jurulatih beregu wanita negara, Wong Pei Tty, memberi bayangan gandingan baru yang melibatkan Vivian Hoo/Yap Cheng Wen tidak bersifat sementara setelah kecederaan semula Woon Khe Wei masih belum dapat diramal mengenai keadaan sebenar pemain itu.

Gandingan baru itu baru sahaja melewati penampilan kali ketiga, namun keserasian yang cuba dicetus Cheng Wen tampak memberikan sinar positif.

Pemain berusia 23 tahun itu mengakui terpaksa melewati tempoh sukar untuk mencari persefahaman tetapi pendekatan dengan mendapatkan gandingan baru buat Vivian adalah jalan terbaik daripada terus menunggu keadaan Khe Wei untuk kembali pulih seperti asal.

"Kami akan mendapatkan gandingan baru buat Khe Wei tetapi kami tidak tahu apa akan berlaku kepada dia.

"Diharapkan gandingan baru ini mampu menghadirkan kejayaan. Hanya tunggu dan lihat," ujar Pei Tty.

Sementara itu, keadaan kecederaan lutut yang dialami Khe Wei masih samar-samar untuk dipastikan.

Segalanya tampak sukar buat Khe Wei yang baru pulih daripada kecederaan sebelum itu, namun ditimpa masalah sama ketika Kejohanan Dunia yang berlangsung di Nanjing, Julai lalu.

"Selepas Kejohanan Dunia, Khe Wei memberitahu dia mengalami kesakitan di bahagian sama. Dia menahan sakit untuk beraksi tetapi kami tidak rasa ia boleh bertahan lama.

"Kini, dia sedang menjalani proses pemulihan dan doktor tidak mencadangkan sebarang pembedahan. Kami belum pasti."