Goh Jin Wei mengetuai cabaran perseorangan wanita negara apabila mara ke pusingan kedua kejohanan Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia 2017 hari ini di sebalik kebimbangan terhadap kecederaan yang dialaminya.

Jin Wei, yang juga pilihan keenam kejohanan, masih belum berada di tahap terbaik, khususnya kecederaan pergelangan kaki yang masih dirasainya menjelang aksi pusingan kedua menentang pemain Taiwan, Lee Chia Hsin.

"Saya agak bertuah di penghujung permainan kerana ditimpa kecederaan lagi semasa saat genting.

"Saya belum berada di tahap terbaik untuk menyasarkan slot ke suku atau separuh akhir.

"Untuk itu, saya harap dapat mengekalkan prestasi dan mara sejauh mungkin." katanya.

Reputasi selaku perseorangan wanita nombor satu negara digalas oleh Jin Wei dengan mempamerkan permulaan positif dalam pertemuan menentang pemain India, Sri Krishna Priya Kudaravalli, Selasa lalu.

Dia beberapa kali memerangkap lawan untuk mendahului 9-5 sebelum Sri Krishna cuba memberikan tentangan bagi merapatkan jurang.

Begitupun, ia tidak menggugat Jin Wei apabila kembali menjarakkan kedudukan kepada 16-10 sebelum mengekalkan rentak berkenaan.

Hasilnya, set pertama dimenangi oleh bekas juara Remaja Dunia 2015 itu, 21-12.

Memasuki set berikutnya, Jin Wei tampil dengan aksi lebih konsisten tetapi kecederaan yang dialami hampir membawa padah sebelum dia menutup pertemuan itu 23-21.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven, ditunjukkan jalan keluar selepas kecundang kepada pilihan kelima dari Korea Selatan, Lee Hyun Il.

Nyata, masih wujud jurang yang terlampau besar di antara kedua-dua pemain itu dengan Hyun Il lebih selesa menguasai gelanggang jika dibandingkan dengan Joo Ven.

Hyun Il mudah mendahului 6-0 sebelum sedikit tentangan cuba diberikan oleh Joo Ven, tetapi ia tidak mencukupi apabila lawannya itu memperolehi kemenangan 21-12.

Walaupun cuba memperkemaskan rentak permainannya, ia masih belum memadai buat Joo Ven untuk menafikan kemenangan 21-10 buat Hyun Il.

"Ini kali pertama saya berdepan dengan Lee Hyun Il.

"Pengalaman dan kualiti pukulannya juga lebih baik daripada saya," kata Joo Ven.