Kelab Badminton (KB) Petaling dan KB Puchong United mempersembahkan satu permainan sengit, sekaligus menyaksikan keputusan seri tercipta dalam saingan SS Purple League (SSPL) di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras.

Dua pasukan itu masing-masing turun memburu kemenangan dalam perlawanan kelapan untuk memastikan kedudukan terbaik dalam liga. Mereka bersaing dengan penuh debaran sehingga menyaksikan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 9-9.

Kenichi Tago terlebih dahulu cemerlang meletakkan KB Petaling di depan. Pemain dari Jepun itu berjaya menumpaskan wakil KB Puchong United yang juga merupakan pemain negara, Chong Wei Feng, 11-10, 11-8, 10- 11 (2-1) dalam aksi sengit.

Selepas itu dalam perseorangan wanita pula, Pan Lu yang bermain untuk KB Puchong United berjaya bangkit apabila menang 11-3, 11-10, 11-10 (3-0) ke atas pemain KB Petaling, Lim Yin Fun, dalam tempoh 21 minit.

KB Puchong United yang diwakili Lee Yang-Ong Yew Sin terus menguasai kategori beregu lelaki apabila berjaya menewaskan Agripinna Prima-Andrei Adistia 7-11, 11-7, 11-9, 9-8 (3-1) untuk KB Puchong United di depan 7-3.

Dalam beregu campuran pula menyaksikan pertembungan menarik di antara kedua-dua pasukan, dengan Goh Liu Ying-Lim Khim Wah beraksi untuk KB Puchong United manakala KB Petaling pula diwakili pemain berpengalaman dari China, Zhao Yunlei yang bergandingan dengan Chen Tang Jie.

Bagaimanapun, perlawanan nyata lebih memihak pasangan KB Petaling dengan kemenangan 11-9, 11-6, 6-11, 11-10 (3-1), sekaligus merapatkan pungutan mata kepada 6-8.

Kategori perseorangan lelaki terakhir selepas itu menyaksikan pemain KB Petaling, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menjadi wira pasukan apabila menang ke atas pemain KB Puchong United, Chou Tien Chen, untuk mengakhiri perlawanan dengan keputusan seri.

Jurulatih perseorangan KB Petaling, Ismail Saman, nyata gembira dengan kebangkitan pasukannya.

“Hari ini saya puji pemain-pemain yang diturunkan kerana mereka bermain bersungguh-sungguh untuk mendapatkan mata dan inilah hasilnya.

“Walaupun kami agak selesa sekarang, saya harap perlawanan terakhir dengan penampilan Datuk Lee Chong Wei bersama pasukan akan memastikan kami mengecapi kemenangan untuk berada di kedudukan terbaik liga sebelum ke peringkat kalah mati,” ujar Ismail selepas tamat perlawanan.

KB Puchong United kini berada di tangga kedua dengan mengumpul 86 mata selepas melalui lapan perlawanan manakala KB Petaling pula di tangga ketiga dengan mengutip 82 mata setakat ini.

Sebelum itu, dalam perlawanan yang berlangsung di venue sama pada sebelah petang, KB Muar yang mengatasi KB Bangsar Hawks 14-4 untuk mengesahkan tempat mereka dalam pusingan kalah mati.

KB muar kini mengumpul 92 mata dan berada pada ranking teratas liga selepas mengharungi lapan perlawanan.

Enam pasukan yang berada di kedudukan enam teratas SSPL akan layak ke peringkat kalah mati selepas ini.