KB Petaling congak peluang pertahan kejuaraan

By Amirul Azreen 14 October 2016
KB Petaling congak peluang pertahan kejuaraan

Menjelang pusingan terakhir yang bakal menentukan siapa bakal dinobatkan sebagai juara Junior Purple League (JPL) Divisyen Satu 2016, pendahulu ketika ini, Kelab Badminton (KB) Petaling, mahu meneruskan rentak terbaik mereka sekaligus muncul juara edisi kali ini.

KB Petaling ketika ini mengumpul 49 mata, 16 mata mengatasi pesaing terdekat mereka, KB Kepong, di tangga kedua.

Bagaimanapun, mereka perlu konsisten dalam tiga perlawanan terakhir untuk memastikan genggaman kejuaraan menjadi milik mutlak pasukan itu.

Pemain beregu campuran mereka, Chen Tang Jie, yakin dengan kemampuan KB Petaling untuk mempertahankan kedudukan teratas liga dengan syarat perlu menewaskan KB Bangsar Hawks, KB Puchong United dan KB Ampang Jaya dalam pusingan terakhir nanti.

“Saya rasa kami mampu mengekalkan kejuaraan tetapi saya tidak mahu terlalu yakin. Saya perlu menghormati lawan saya dan cuba yang terbaik untuk menewaskan mereka,” kata Tang Jie.

Tang Jie berpendapat pasukannya adalah pasukan yang kuat kerana mereka mempunyai rakan sepasukan yang mempunyai motivasi tinggi.

“Pasukan kami adalah satu pasukan yang begitu seimbang. Kami ada pemain yang terbaik dalam semua kategori dan sudah tentu kami mahu mempertahankan kejuaraan,” katanya lagi.

"Sebagai seorang atlet, kami tidak boleh terlalu berasa selesa. Saya tidak mahu sentiasa berpuas hati dengan aksi saya.

"Walaupun menang besar, saya akan cuba memberikan aksi terbaik dan menganalisis setiap kelemahan,” kata pemain berusia 18 tahun itu.

Seorang lagi rakan sepasukan Tang Jie, Leong Jun Hao, juga mempunyai keyakinan yang sama dengannya.

“Saya percaya pasukan kami di landasan untuk mengecapi kejuaraan liga kerana kami sedang mendahului dengan jurang mata yang agak banyak dengan baki tiga perlawanan sahaja lagi,” kata pemain remaja yang berada di ranking ke-15 dunia itu.

Jun Hao yang baru pulang daripada menyertai kem latihan di India, sedang menjalani latihan bersama pasukan senior kebangsaan untuk persiapan Kejohanan Remaja
Dunia bulan depan. 

Walaupun terpaksa berdepan dengan jadual padat, pemain itu bersedia untuk beraksi andai khidmatnya diperlukan dalam tiga perlawanan terakhir nanti.

Sementara itu, dalam saingan Divisyen Dua, KB Bandar Maharani selesa berada di puncak liga ketika ini dengan kelebihan 33 mata berbanding KB Rawang.

Pusingan terakhir JPL 2016 yang akan berlangsung di Challenger Sports Centre, Ampang pada 15 dan 16 Oktober ini bakal menentukan siapa menjadi juara kejohanan liga badminton tersohor untuk remaja itu.

About Author

Amirul Azreen

Comment