Kelab Badminton (KB) Muar mengesahkan kedudukan selaku juara peringkat pertama liga round robin SS Purple League (SSPL) musim ini selepas mengatasi KB Puchong United dalam perlawanan terakhir mereka di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras, hari ini.

Mereka menang 11-8 ke atas KB Puchong United dalam perlawanan terakhir dan mengumpul 103 mata keseluruhan selepas melalui tujuh kemenangan dan hanya dua kekalahan.

Pemain professional negara, Zulfadli Zulkifli, terlebih dahulu mendapatkan kemenangan buat KB Muar dalam perlawanan perseorangan lelaki. Dia mudah menumpaskan wakil KB Puchong United, Chong Wei Feng, 11-5, 11-7, 11-3 (3-0).

Soniia Cheah terus mengukuhkan lagi kedudukan KB Muar dalam perseorangan wanita, dengan menghadiahkan mata kemenangan apabila menang ke atas pemain KB Puchong United, Pan Lu, 4-11, 11-3, 11-2, 11-8 (3-1).

KB Puchong United, bagaimanapun, kembali bangkit dalam kategori beregu lelaki. Gandingan Lee Jhe Huei-Lee Yang menewaskan wakil KB Muar, Teo Ee Yi-Teo Kok Siang 11-5, 11-4, 8-11, 11-6 (3-1).

Dalam kategori beregu campuran, Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung tidak bermasalah untuk terus mengutip mata buat KB Muar. Mereka mengatasi KB Puchong United yang diwakili pasangannya, Lim Khim Wah-Shevon Jemie Lai 11-2, 10-11, 11-6, 11-9 (3-1).

Walaupun pemain KB Muar, Lee Hyun Il, tewas 9-11, 8-11, 11-7, 1-8 (1-3) kepada pemain KB Puchong United, Chou Tien Chen, dalam perlawanan perseorangan lelaki terakhir, ia tetap tidak mengubah kemenangan mutlak yang diraih kelabnya hari ini, sekaligus muncul juara peringkat liga.

Jurulatihnya, Nova Armada, berkata kejayaan pasukan musim ini adalah kerana usaha keras pihak pengurusan kelab itu serta barisan pemain.

“Saya ingin berterima kasih kepada pemilik kelab, Anthony Lim, Reza Hussin dan Rashid Sidek yang sentiasa memastikan pasukan yang dulunya dikenali sebagai KB Muar City ini berada pada tahap terbaik.

“Saya sangat puas kerana kami juara peringkat liga dan sudah layak ke peringkat kalah mati selepas ini. Jadi, kami akan cuba yang terbaik kekalkan prestasi kerana kami tahu pasukan seperti KB Petaling yang memiliki Lee Chong Wei dan KB Puchong United pastinya akan memberikan saingan sengit di Genting Highlands nanti,” ujar Nova.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan yang berlangsung tengah hari tadi, KB Bandar Utama Dragons juga mengesahkan slot ke peringkat kalah mati selepas menumpaskan KB Petaling Jaya 13-8.

Berbaki satu lagi perlawanan terakhir liga, mereka mengumpulkan 83 mata dan berada di kedudukan ketiga setakat ini. KB Petaling Jaya juga berpeluang besar untuk layak dengan kedudukan mereka di tangga kelima ketika ini.

Pasukan di kedudukan nombor dua teratas SSPL akan terus layak ke peringkat separuh akhir. Dua lagi tempat di separuh akhir akan ditentukan menerusi play-off empat pasukan yang menduduki tempat ketiga hingga keenam liga.

Esok merupakan perlawanan terakhir peringkat liga round robin buat beberapa lagi pasukan di Stadium Badminton Cheras.

Selepas ini, peringkat kalah mati enam pasukan teratas liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands.

Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.

Keputusan SSPL 2016/17 (7 Januari 2017)

(12pm)KB Petaling Jaya BC kalah kepada KB BU Dragons 8-13
MS2: Goh Giap Chin kalah kepada Goh Soon Huat 1-3 (6-11, 9-11, 11-10, 0-1)
WS: Deng Xuan kalah kepada Goh Jin Wei 1-3 (6-11, 6-11, 11-3, 5-11)
MD: Koo Kien Keat-Or Chin Chung kalahkan Chooi Kah Ming-Mak Hee Chun 3-2 (4-11, 11-9, 11-9, 10-11, 4-3)
XD: Tang Chun Man-Woon Khe Wei kalah kepada Lai Pei Jing-Tan Kian Meng 1-3 (11-3, 9-11, 10-11, 4-8)
MS1: Khosit Phetpradab seri dengan Wei Nan 2-2 (11-10, 8-11, 6-11, 6-5)

(4pm) KB Puchong United BC kalah kepada KB Muar 8-11
MS2: Chong Wei Feng kalah kepada Zulfadli Zulkiffli 0-3 (5-11, 7-11, 3-11)
WS: Pan Lu kalah kepada Soniia Cheah Su-Ya 1-3 (11-4, 3-11, 2-11, 8-11)
MD: Lee Jhe Huei-Lee Yang kalahkan Teo Ee Yi-Teo Kok Siang 3-1 (11-5, 11-4, 8-11, 11-6)
XD: Lim Khim Wah-Shevon Jemie Lai kalah kepada Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung 1-3 (2-11, 11-10, 6-11, 9-11)
MS1: Chou Tien Chen kalahkan Lee Hyun Il 3-1 (11-9, 11-8, 7-11, 8-1)