Kelab Badminton (KB) Bangsar Hawks yang belum mencatat sebarang kemenangan dalam saingan SS Purple League (SSPL) musim ini, akhirnya berjaya mencipta kejutan ke atas KB Ampang Jaya dalam perlawanan kelima liga, hari ini.

Menghuni tangga kedua tercorot SSPL sebelum perlawanan bermula, KB Bangsar Hawks mengatasi KB Ampang Jaya dalam kategori perseorangan wanita, beregu lelaki, dan beregu campuran untuk seterusnya memenangi perlawanan 11-10 dalam aksi penuh sengit di Cyberjaya.

Dalam perseorangan lelaki pertama, wakil KB Ampang Jaya, Suppanyu Avihingsanon dari Thailand, memberikan mata kemenangan kepada pasukannya. Dia yang berhadapan pemain KB Bangsar Hawks, Wan Chia Hsin, menang 11-9, 11-9, 11-4 (3-0).

Pemain perseorangan wanita KB Bangsar Hawks, Lee Ying Ying, membantu pasukannya merapatkan kedudukan apabila mencatat kemenangan 6-11, 11-7, 10-11, 11-6, 1-0 (3-2) ke atas pemain KB Ampang Jaya, Ho Yen Mei, dalam masa 30 minit.

Gandingan beregu lelaki KB Bangsar Hawks, Irfan Fadhilah-Loh Kean Hean, terus melakukan kejutan selepas itu.

Mereka menundukkan gandingan KB Ampang Jaya, Lukhi Nugroho-Muhammad Syawal, 11-6, 10-11, 11-5, 11-9 (3-1), sekaligus terus memungut mata penting buat pasukan KB Bangsar Hawks dalam aksi kali ini.

Joyce Choong-Pei Tian Yi terus garang untuk mengejutkan gandingan Ampang Jaya, Anna Cheong-Kim Astrup, dalam kategori beregu campuran. Mereka menang 11-7, 8-11, 11-10, 11-6 (3-1) untuk KB Bangsar Hawks mendahului 9-7.

Biarpun pemain KB Bangsar Hawks dari China, Du Yu Hang, yang turun beraksi dalam perseorangan lelaki terakhir tewas 5-11, 5-11, 11-7, 11-6, 4-11 (2-3) kepada wakil KB Ampang Jaya, Lee Cheuk Yiu, namun ia tidak menghalang pasukannya untuk mencatat kemenangan sulung dalam kempen SSPL musim ini.

Ketua jurulatih KB Bangsar Hawks, Ong Ewe Chai, yang juga merupakan bekas pemain negara, memuji persembahan bertenaga pasukannya hari ini.

"Pemain saya bermain sangat bagus hari ini. Kami juga tidak menjangkakan pemain perseorangan wanita, Lee Ying Ying, berjaya menang mengatasi Ho Yen Mei dalam aksi yang mendebarkan tadi.

“Apapun, kami tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi tapi akan mencuba yang terbaik dalam setiap perlawanan selepas ini.

"Kami lebih mengutamakan pendedahan kepada pemain muda dalam saingan kali ini,” ujar jurulatih berasal dari Pulau Pinang itu.

Sebelum itu, pada aksi semalam, KB Muar mengatasi KB Kepong 12-6, sekaligus terus mengukuhkan kedudukan untuk bersaing ke peringkat kalah mati pada bulan Februari nanti.