Berjaya merakamkan lima kemenangan berturut-turut, Kelab Badminton (KB) Bandar Maharani tidak akan memperlahankan rentak mereka, sebaliknya mensasarkan tiga lagi kemenangan mutlak dalam baki saingan Divisyen Dua, Junior Purple League (JPL) 2016.

Selesa di puncak dalam saingan Divisyen Dua dan masih segar dengan kemenangan 5-0 (15-0) ke atas KB Bukit Cheras, mereka kini sudah bersiap sedia menjadikan KB Desa Petaling sebagai mangsa “smash” yang seterusnya.

“Aksi kami dalam JPL setakat ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana misi kami sejak awal musim lagi sememangnya untuk menduduki tempat teratas.

"Persiapan kami termasuklah mendapatkan pemain yang kualitinya setaraf dengan Divisyen Satu,” kata pengurus KB Bandar Maharani, Yap Kim Heng.

“Barisan kejurulatihan dan saya sendiri telah menerangkan kepada pemain-pemain mengenai sasaran kelab ini sebelum saingan bermula.

"Mereka begitu komited dan berjanji berjuang habis-habisan untuk KB Bandar Maharani hingga akhir musim JPL 2016,” tambahnya.

Setiap pemain, termasuk pemain import, dipilih sendiri oleh Kim Heng selepas menyaksikan aksi mereka dalam kejohanan sebelum ini.

Pernah membimbing pasukan badminton Johor untuk Sukan Malaysia (Sukma) dan kejohanan sirkit kebangsaan, pengalaman Kim Heng membolehkannya mencari pemain berbakat dan dia turut mengimpikan untuk menjadi juara Divisyen Satu pada masa depan.

Sebagai contoh, gandingan beregu campuran mereka yang dibawa dari Thailand, Nathakorn Jarareree/Weeraphat Phakjarung, tidak pernah tewas dalam saingan JPL setakat ini.

Kim Heng yang juga pemilik kelab itu berkata pemain-pemainnya memiliki motivasi tinggi dan fokus untuk mencipta kemenangan dalam baki saingan selepas mencatat rekod tanpa kalah sepanjang mengharungi saingan liga setakat ini.

“Saya begitu berbangga dengan pencapaian pemain saya setakat ini. Saya tidak perlu memberitahu mereka apa yang mereka perlu lakukan bila beraksi.

"Mereka sentiasa cuba memberikan aksi yang terbaik,” ujar abang kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Atlanta 1996, Yap Kim Hock, itu.

“Kadang-kadang mereka meminta maaf apabila permainan mereka tidak menjadi. Bagi saya, saya begitu berpuas hati dengan aksi sehabis baik yang dipamerkan mereka,” tambah Kim Heng.

Walaupun sudah berada di puncak menjelang aksi pusingan terakhir di Challenger Sports Centre, Ampang hujung minggu ini, KB Bandar Maharani tidak mahu berasa begitu selesa kerana mereka akan berhadapan penghuni tangga kedua dan ketiga liga, KB Rawang serta KB Tebrau City, dalam dua perlawanan terakhir.

Pusingan terakhir JPL 2016 hujung minggu ini pada 15 dan 16 Oktober akan menentukan siapa bakal menjadi juara Divisyen Satu dan Divisyen Dua apabila kesemua pasukan membuat perhitungan terakhir.

Selepas itu, pasukan-pasukan ini akan menghadapi satu lagi kejohanan, iaitu Junior Champions Challenge pada minggu berikutnya.