Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya menyekat impian KB Petaling untuk ke perlawanan akhir Junior Champions Challenge (JCC) 2016 apabila menumpaskan mereka di peringkat separuh akhir, sebentar tadi.

Dalam perlawanan itu, pemain perseorangan remaja negara, Leong Jun Hao, menghadiahkan mata pertama kepada KB Petaling melalui kemenangan ke atas pemain KB Ampang Jaya, Tan Jia Wei, 6-11, 11-7, 11-10, 11-3 (3-1).

Dalam kategori kedua perseorangan wanita, KB Ampang Jaya bagaimanapun bangkit untuk menang dengan keputusan 9-11, 8-11, 6-11(0-3) menerusi pemain import dari China, Wang Zhi Yi.

Dalam set beregu lelaki, KB Petaling berjaya menang semula menerusi gandingan Ian Wong Jien-Kwek Yi Jian apabila menumpaskan pasangan Tan Kok Xian-Tang Xin 11-7, 3-11, 6-11, 11-9, 11-8 (3-2).

Apapun, nasib tidak menyebelahi KB Petaling dalam kategori beregu wanita mereka, Loh Bao Ying-Tew Jia Jia, apabila tewas 8-11, 8-11, 9-11 (0-3) kepada Anna Cheong-Wong Kha Yan.

Dalam pertemuan terakhir beregu campuran, KB Ampang Jaya yang sedang mendahului 9-6 secara keseluruhan hanya memerlukan satu mata sahaja lagi untuk ke perlawanan akhir.

Impian mereka menjadi kenyataan apabila Ching Kai Feng-Desiree Siow berjaya mengutip kemenangan dalam set pertama, sekali gus membawa KB Ampang Jaya ke pentas akhir JCC 2016.

Pengurus pasukan KB Ampang Jaya, Ho Khok Meng, menyimpulkan kejayaan pasukannya melangkah ke perlawanan akhir dengan berkata, “Saya sangat gembira kerana kami telah melangkah ke perlawanan akhir JCC tahun ini.

"Ini adalah hasil usaha kelab sejak setahun lalu yang melatih pemain-pemain dengan begitu sistematik. Itulah kunci kemenangan hari ini.

“Bagi saya, apa sahaja keputusan dalam perlawanan akhir nanti, kami sudah mencapai sasaran dan saya cuma mengharapkan pemain saya mempamerkan aksi terbaik."

Keputusan Separuh Akhir Junior Champions Challenge (JCC) 2016:

KB Ampang Jaya menewaskan KB Petaling 10-6
Perseorangan lelaki: Tan Jia Wei kalah kepada Leong Jun Hao 1-3 (11-6, 7-11, 10-11, 3-11)
Perseorangan wanita: Wang Zhi Yi menewaskan Yap Yee 3-0 (11-9, 11-8, 11-6)
Beregu lelaki: Tan Kok Xian-Tang Xin kalah kepada Ian Wong Jien Sern-Kwek Yee Jian 2-3 (7-11, 11-3, 11-6, 9-11, 8-11)
Beregu wanita:Anna Cheong-Wong Kha Yan menewaskan Loh Bao Ying-Tew Jia Jia 3-0 (11-8, 11-8, 11-9)
Beregu campuran: Ching Kai Feng-Desiree Siow menewaskan Chen Tang Jie-Wanida Buapa 11-9 (1-0)