Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya menutup aksi liga round robin SS Purple League (SSPL) dengan penuh bergaya apabila mencatat kemenangan ke atas pasukan KB Petaling di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Mereka menang 12-5, sekaligus menamatkan aksi pusingan pertama SSPL di kedudukan ketiga dengan 92 mata. KB Petaling pula di kedudukan keempat dengan 87 mata.

KB Ampang Jaya meraih mata awal melalui pemain perseorangan lelakinya dari Thailand, Suppanyu Avihingsanon, yang mengatasi wakil KB Petaling, Kenichi Tago. Dia menang 11-4, 11-5, 5-11, 9-8 (3-1).

Ho Yen Mei terus cemerlang merakamkan kemenangan buat KB Ampang Jaya dalam kategori perseorangan wanita. Dia berjaya mengetepikan cabaran pemain KB Petaling, Lim Yin Fun, 11-3, 7-11, 11-3, 11-6 (3-1) dalam masa 26 minit.

Dalam beregu lelaki selepas itu, gandingan Lukhi Nugroho-Muhd Syawal terus mengutip mata buat pasukan KB Ampang Jaya. Pasangan itu menang 11-4, 11-8, 11-10 (3-0) mengatasi wakil KB Petaling, Andrei Adistia-Ian Wong Jern.

Gandingan Lee Chong Wei-Zhao Yunlei, bagaimanapun, kembali memberikan mata kepada KB Petaling. Pasangan yang pernah meraih pingat Olimpik itu menang 11-6, 11-8, 11-4 (3-0) menewaskan wakil KB Ampang Jaya, Tan Wei Han-Terry Hee Yong Kai. Mereka memperagakan aksi menarik menceriakan ribuan penonton yang memenuhi ruang tempat duduk stadium.

Pemain perseorangan lelaki KB Ampang Jaya, Lee Cheuk Yiu, berjaya melengkapkan kemenangan pasukannya. Dia menumpaskan pemain KB Petaling, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, 11-7, 11-7, 5-2 (3-0) dalam masa 15 minit selepas pemain itu mengalami kecederaan.

Pengurus pasukan KB Ampang Jaya, Ho Khek Mong, berasakan ini adalah antara persembahan terbaik anak buahnya.

“Bagi saya, ini adalah satu kejutan menang besar ke atas KB Petaling. Kami turun tanpa sebarang tekanan malam ini. Itulah satu faktor kemenangan malam ini yang bagi saya antara persembahan terbaik pasukan ini.

“Saya rasakan ini satu pencapaian yang baik dan kami berharap di peringkat kalah mati nanti, akan dapat mencapai sasaran sekurang-kurangnya meraih tempat ketiga saingan musim ini,” kata Khek Mong.

Pada sebelah petang tadi, Kelab Badminton KB Muar mengesahkan kedudukan selaku juara peringkat liga round robin SS Purple League SSPL musim ini selepas mengatasi KB Puchong United 11-8.

Begitu juga dengan KB Bandar Utama Dragons yang mengesahkan slot ke peringkat kalah mati selepas menumpaskan KB Petaling Jaya 13-8 tengah hari tadi.

Dalam peringkat kalah mati nanti, pasukan di kedudukan nombor dua teratas SSPL akan terus layak ke peringkat separuh akhir. Dua lagi tempat di separuh akhir akan ditentukan menerusi play-off empat pasukan yang menduduki tempat ketiga hingga keenam liga.

Esok merupakan perlawanan terakhir peringkat liga round robin buat beberapa lagi pasukan di Stadium Badminton Cheras.

Selepas ini, peringkat kalah mati enam pasukan teratas liga ini akan berlangsung dari 9 hingga 12 Februari di Arena of Stars, Genting Highlands.

Tiket boleh didapati secara online melalui laman web ticketcharge.com.my dan boleh dibeli terus di venue pertandingan.

Keputusan SSPL 2016/17 (7 Januari 2017)

(12pm)KB Petaling Jaya BC kalah kepada KB BU Dragons 8-13
MS2: Goh Giap Chin kalah kepada Goh Soon Huat 1-3 (6-11, 9-11, 11-10, 0-1)
WS: Deng Xuan kalah kepada Goh Jin Wei 1-3 (6-11, 6-11, 11-3, 5-11)
MD: Koo Kien Keat-Or Chin Chung kalahkan Chooi Kah Ming-Mak Hee Chun 3-2 (4-11, 11-9, 11-9, 10-11, 4-3)
XD: Tang Chun Man-Woon Khe Wei kalah kepada Lai Pei Jing-Tan Kian Meng 1-3 (11-3, 9-11, 10-11, 4-8)
MS1: Khosit Phetpradab seri dengan Wei Nan 2-2 (11-10, 8-11, 6-11, 6-5)

(4pm) KB Puchong United BC kalah kepada KB Muar 8-11
MS2: Chong Wei Feng kalah kepada Zulfadli Zulkiffli 0-3 (5-11, 7-11, 3-11)
WS: Pan Lu kalah kepada Soniia Cheah Su-Ya 1-3 (11-4, 3-11, 2-11, 8-11)
MD: Lee Jhe Huei-Lee Yang kalahkan Teo Ee Yi-Teo Kok Siang 3-1 (11-5, 11-4, 8-11, 11-6)
XD: Lim Khim Wah-Shevon Jemie Lai kalah kepada Chan Peng Soon-Lee Hyo Jung 1-3 (2-11, 11-10, 6-11, 9-11)
MS1: Chou Tien Chen kalahkan Lee Hyun Il 3-1 (11-9, 11-8, 7-11, 8-1)

(8pm) KB Petaling kalah kepada KB Ampang Jaya 5-12
MS2: Kenichi Tago kalah kepada Suppanyu Avihingsanon 1-3 (4-11, 5-11, 11-5, 8-9)
WS: Lim Yin Fun kalah kepada Ho Yen Mei 1-3 (3-11, 11-7, 3-11, 6-11)
MD: Andrei Adistia-Ian Wong Jern Sien kalah kepada Lukhi Nugroho-Muhammad Syawal 0-3 (4-11, 8-11, 10-11)
XD: Lee Chong Wei-Zhao Yunlei kalahkan Tan Wei Han-Terry Hee Yong Kai 3-0 (11-6, 11-8, 11-4)
MS1: Iskandar Zulkarnain kalah kepada Lee Cheuk Yiu 0-3 (7-11, 7-11, 2-5)