KB Ampang Jaya cepat panas!

By Staff Writer 13 December 2016
KB Ampang Jaya cepat panas!
Walaupun baru beraksi dalam perlawanan pertama saingan SS Purple League (SSPL) 2016/17, Kelab Badminton (KB) Ampang Jaya menjadikan pendatang baru, KB Klang City, sebagai mangsa apabila membenam kelab itu 5-0 di Cyberjaya, hari ini.

Perseorangan lelaki KB Ampang Jaya, Suppanyu Avihingsanon, menumpaskan KB Klang City yang diwakili pemain remaja kebangsaan, Leong Jun Hao, 11-6, 11-5, 11-6.

Selepas itu, giliran import dari Thailand, Nitchaon Jindapol, pula memungut kemenangan kedua untuk KB Ampang Jaya selepas menewaskan Kisona Selvaduray, 11-6, 11-3, 11-9, dalam acara perseorangan wanita.

Bersambung dalam pertarungan beregu lelaki,  gandingan Muhammad Syawal/Terry Hee Yong Kai menewaskan Ong Jian Guo/Tai An Khang, 11-10, 10-11, 11-7, 11-8, sekali gus menjarakkan lagi mata kemenangan.

Dalam kategori beregu campuran, KB Ampang Jaya terus mendominasi perlawanan. Gandingan Anna Cheong/Lukhi Nugroho mengukir kemenangan, 11-8, 4-11, 11-9, 11-10, ke atas pasangan Cheah Yee See/Low Hang Yee.

Dalam satu lagi acara perseorangan lelaki, Lee Cheuk Yiu tidak berdepan masalah untuk mengutip kemenangan pasukannya, KB Ampang Jaya. Dia mudah menewaskan Chin Wai Kin, 11-6, 11-5, 11-8.

Jurulatih KB Ampang Jaya, Ho Khek Mong, nyata berpuas hati dengan kemenangan pertama pasukannya.

"Dari awal lagi saya sudah mengingatkan pemain saya mengenai format 30 minit liga ini. Selain itu saya juga memilih pemain yang bermain dengan corak agresif untuk pasukan saya.

“Sudah tentu saya sangat gembira dengan kemenangan besar, ditambah pula kami baru beraksi dalam perlawanan pertama dan menentang pasukan seperti KB Klang City yang mempunyai pemain remaja yang bagus, iaitu Leong Jun Hao. 

"Apapun, kami perlu fokus untuk perlawanan selepas ini kerana liga baru bermula," katanya.

Keputusan penuh:

MS2: Suppanyu Avihingsanon mn Leong Jun Ha, 11-6, 11-5, 11-6.

WS: Nitchaon Jindapol mn Kisona Selvaduray, 11-6, 11-3, 11-9.

MD: Muhammad Syawal-Terry Hee Yong Kai mn Ong Jian Guo-Tai An Khang, 11-10, 10-11, 11-7, 11-8.

XD: Anna Cheong-Lukhi Nugroho mn Cheah Yee See-Low Hang Yee 11-8, 4-11, 11-9, 11-10.

MS1: Lee Cheuk Yiu mn Chin Wai Kin, 11-6, 11-5, 11-8.

About Author

Staff Writer

Comment