Tekanan kini di atas bahu jurulatih perseorangan negara, Hendrawan, Tey Seu Bock dan Indra Wijaya apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengibaratkan perkembangan skuad itu sebagai kritikal.

BAM sedang mempersiapkan diri dengan kemungkinan Datuk Lee Chong Wei bersara bila-bila masa selepas Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos ini.

Setakat ini, hanya Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang berupaya dijadikan sandaran jika Chong Wei tidak lagi beraksi.

Bagaimanapun, misi utama barisan kejurulatihan perseorangan negara adalah untuk memastikan pemain lain seperti Soo Teck Zhi, Song Joo Ven, Cheam Jun Wei dan Lee Zii Jia memenuhi potensi sebagai pemain masa depan Malaysia.

"Terdapat beberapa jurulatih perseorangan yang berada dalam keadaan tertekan bagi mencari pemain perseorangan untuk menggantikan Chong Wei di masa akan datang.

"Ia menjadi perkara utama yang harus kami selesaikan," kata Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Norza, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) BAM, turut menegaskan keperluan untuk skuad negara memiliki hub institut sukan negara tersendiri yang akan berpangkalan di Akademi Badminton Kebangsaan.

"Kami akan memiliki kemudahan yang lengkap di gimnasium kami. Pakar nutrisi serta pakar fisioterapi akan ada bagi memastikan pemain-pemain badminton negara mendapatkan latihan dan persiapan yang lengkap."

2017 adalah tahun penting buat BAM dalam memastikan kesinambungan kejayaan musim lalu, di sebalik pemilihan pucuk pimpinan dalam mesyuarat agung tahunannya, April ini.