JPL: KB Petaling terlepas peluang rampas takhta

By Shaiful Shamsudin 1 October 2016
JPL: KB Petaling terlepas peluang rampas takhta
Saingan Divisyen Satu, Junior Purple League (JPL) 2016 menyaksikan pertembungan menarik pusingan keempat untuk merebut takhta liga di antara pendahulu, KB Kepong, yang turun menentang pasukan di kedudukan kedua, KB Petaling, dalam aksi di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini. 

Dua kemenangan awal KB Petaling menerusi perseorangan lelaki dan perseorangan perempuan mereka gagal menterjemahkan kemenangan mudah ke atas KB Kepong apabila membenarkan lawan untuk bangkit menyamakan kedudukan 2-2 selepas itu.

Walaupun menang 3-2 ke atas KB Kepong, keputusan itu gagal melonjakkan KB Petaling apabila masih dipisahkan dengan kiraan mata kemenangan. 

Dalam pertarungan perseorangan lelaki, KB Petaling yang diwakili pemain remaja kebangsaan, Leong Jun Hao bermula garang apabila berjaya menghadiahkan kemenangan pertama menewaskan Nuraidil Adha 11-9, 11-5, 4-11, 11-6.

Pemain import dari Thailand, Chasinee Korepap tidak mempunyai masalah besar memberikan kemenangan kedua dalam perseorangan perempuan buat KB Petaling dengan menewaskan pemain KB Kepong, Chu Ai Fei 11-0, 11-5, 11-1.

Walau bagaimanapun, KB Kepong tidak berputus asa dan berjaya merakamkan kemenangan pertama mereka melalui beregu lelaki, Helmie Zulhaidee-Tee Kai Wun menewaskan beregu lelaki KB Petaling, Kwek Yi Jian-Man Wei Chong 7-11, 11-5, 11-6, 11-9.

Selepas itu, beregu perempuan KB Kepong, Bonoi Pakitta-Pearly Tan Kong Le memberikan nafas semula kepada pasukannya apabila mereka berjaya menumpaskan gandingan Loh Bao Ying-Wanida Buapa 11-8, 9-11, 11-10, 11-3, untuk mengikat kedudukan 2-2.

Pada set terakhir menerusi taruhan beregu campuran, Chen Tang Jie-Tew Jia Jia dari KB Petaling berjaya memenangi perlawanan itu dengan menumpaskan Robby Darwis- Silprakob Suphapich dengan keputusan 11-10, 11-10, 9-11, 11-3.

KB Kepong mengutip 28 mata keseluruhan setakat tamat empat pusingan, manakala KB Petaling pula mengutip 25 mata, menjadikan tiga mata membezakan kedudukan mereka ketika ini.

Jurulatih KB Petaling, Yap Kim Hock, mahu anak buahnya mengumpul lebih banyak mata kemenangan selepas ini untuk mencerahkan peluang merampas tangga teratas liga.

“Kami akan berhadapan KB Cheras dan KB Kepong United selepas ini, jadi kami kena kaji balik kelemahan kami.

“Kami masih mempunyai peluang untuk mengekalkan kejuaraan jika kami mengumpul lebih kemenangan selepas ini. 

"Pencabar kami, KB Kepong, akan berhadapan pasukan seperti KB Bandar Utama yang tanpa Goh Jin Wei selepas ini, jadi mereka pastinya mahu mengumpul banyak mata. Kami juga harap dapat kumpul banyak mata,” ujar bekas jurulatih kebangsaan itu.

Sementara itu, saingan Divisyen Dua sehingga pusingan keempat menampilkan pertembungan di antara pendahulu kejohanan, KB Rawang, dan pasukan di tangga ketiga, KB Bukit Cheras, berlangsung sengit yang menyaksikan KB Rawang bangkit untuk meraih kemenangan 4-1. 

Bagaimanapun, KB Rawang terpaksa melepaskan takhta pendahulu seketika kepada KB Bandar Maharani yang menang besar mengatasi KB Rawang City 5-0.
 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment