Junior Purple League (JPL) 2016 menutup tirai hari ini dengan juara musim lepas, Kelab Badminton (KB) Petaling, berjaya mempertahankan mahkota kejuaraan Divisyen Satu selepas aksi konsisten sepanjang liga remaja itu berlangsung.

KB Bandar Maharani pula muncul sebagai juara saingan JPL Divisyen Dua.

Dalam perlawanan terakhir pusingan kesembilan Divisyen Satu, KB Petaling turun tanpa sebarang tekanan berdepan KB Ampang Jaya.

Walau apa pun terjadi dalam perlawanan itu, KB Petaling sudahpun mengesahkan kejuaraan memandangkan jurang mata yang jauh meninggalkan pesaing terdekat.

Dalam perlawanan terakhir itu, sasaran KB Petaling untuk menang, sekaligus mengekalkan rekod bersih tanpa kekalahan sepanjang musim ini ternyata meleset.

Mereka tewas dalam perlawanan terakhir itu dengan keputusan 1-4 (7-13). KB Petaling mengumpul 63 mata, tempat kedua pula diraih KB Kepong dengan 32 mata, diikuti KB Bandar Utama Dragons dengan 29 mata.

Menurut jurulatih KB Petaling, Yap Kim Hock, dia menghargai aksi pemainnya yang sentiasa bertungkus-lumus sepanjang liga berlangsung.

Kim Hock berkata, “Saya berpuas hati dengan barisan pemain saya. Kami juara buat kali kedua berturut-turut dalam JPL. Bagi saya, kami mempunyai kekuatan seimbang dalam pasukan.

"Kami ada Leong Jun Hao, Chen Tang Jie dan bebarapa lagi pemain seperti Chasinee Korepap (dari Thailand) yang memberikan kekuatan kerana mereka mampu beraksi dalam apa-apa kategori,” ujar bekas jurulatih kebangsaan itu.

Tambah Kim Hock, “Pada tahun depan saingan sudah berubah dan pasti lebih sengit dengan banyak pemain remaja yang semakin meningkat naik.

"Apapun, kami perlu memikirkan untuk menang dalam Junior Champions Challenge (JCC) terlebih dahulu selepas ini.”

Dalam saingan Divisyen Dua pula, KB Bandar Maharani muncul juara, sekaligus melayakkan pasukan itu untuk mengisi slot ke saingan JPL Divisyen Satu pada musim hadapan.

Dalam perlawanan terakhir liga, mereka menumpaskan pasukan KB Tebrau City dengan keputusan 4-1 (13-7) untuk mengumpulkan 64 mata keseluruhan. Di tangga kedua pula adalah KB Rawang. diikuti oleh KB Georgetown ketiga.

Jurulatih KB Bandar Maharani, Yap Kim Heng, nyata berpuas hati dengan persembahan anak didiknya untuk menang, sekaligus layak ke Divisyen Pertama.

“Aksi keseluruhan pemain saya boleh dikatakan sangat baik musim ini. Saya berpuas hati dengan aksi pemain-pemain saya. Saya gembira pasukan kami layak ke Divisyen Satu pada tahun depan.

“Saya rasa kejayaan kami adalah kerana persiapan awal yang kami lakukan, ditambah persembahan pemain yang semakin meningkat dalam setiap perlawanan,” ujar Kim Heng.

Jurulatih itu menambah, “Saya harap pemain-pemain saya dapat belajar sesuatu daripada liga ini. Saya percaya standard JPL semakin meningkat, jadi saya harap pengalaman yang diperoleh akan digunakan untuk meningkatkan permainan mereka. Saya mungkin mengekalkan kebanyakan pemain yang sama untuk saingan tahun depan”.

Selepas selesai JPL 2016, kesemua pemain-pemain remaja berbakat dari semua kelab sekali lagi akan bertanding dalam Junior Champions Challenge (JCC).

Kejohanan yang akan berlangsung dalam format kalah mati itu akan berlangsung di Sports Arena, Bukit Serdang dari 20 hingga 23 Oktober ini.