Walaupun berjaya mencipta kemenangan dalam tiga perlawanan awal Junior Purple League (JPL) di Kompleks Sukan Azman Hashim, USM Pulau Pinang, Kelab Badminton( KB) Kepong tidak mahu mendabik dada, sebaliknya lebih berhati-hati terhadap setiap lawan yang bakal mereka temui.

Di sebalik persembahan awal mereka begitu menyakinkan dan dianggap sebagai pilihan untuk merangkul juara JPL 2016, namun jurulatihnya, Ai Wei Jian, berpendapat perlawanan awal itu tidak boleh dijadikan ukuran.

“Ia masih di peringkat awal saingan dan sukar untuk meramalkan pasukan saya akan menjadi juara. Saya sendiri tidak mahu meletakkan apa-apa jaminan,” katanya.

Wei Jian juga berharap pemainnya tidak berasa selesa dengan prestasi awal mereka yang luar biasa, sebaliknya harus kekal konsisten dalam setiap perlawanan untuk mengekalkan kedudukan dalam JPL 2016.

“Mungkin pemain bermain dengan bagus minggu ini dan mungkin juga mereka tidak beraksi seperti yang diharapkan dalam perlawanan selepas ini.

"Jadi, saya akan memantau mereka dengan rapi dan saya harapkan mereka berehat dengan secukupnya,” kata Wei Jian.

“Pemain kami mempunyai semangat juang yang tinggi dan fizikal mereka juga baik, jadi kami harap akan mengulanginya sekali lagi dalam perlawanan seterusnya. Saya harap mereka akan beraksi dengan baik sekali lagi,” tambah jurulatih itu.

KB Petaling Jaya, KB Bangsar Hawks dan KB Puchong United menjadi mangsa amukan KB Kepong dalam tiga perlawanan pusingan awal minggu lalu.

Berdepan KB Bangsar Hawks, mereka tidak keciciran sebarang mata apabila menang 15-0 ke atas lawan mereka itu, sekali gus meletakkan KB Kepong sebagai pasukan kuat musim ini.

“Lawan kami sebelum ini juga agak kuat. Jadi, kemenangan adalah sesuatu yang bagus kepada pasukan. Kami perlu menang semua perlawanan untuk mencabar kejuaraan,” ujar Wei Jian lagi.